Skip to main content

Politik

PRN Johor: 172 calon sah bertanding rebut 56 kerusi DUN - SPR

MUAR, 26 Jun -- PPengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun menjawab pertanyaan media selepas meninjau persiapan pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani di Dewan Tanjung, Bangunan Istana Tanjung hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Seri Ramlan Harun, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seramai 172 calon disahkan bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata daripada jumlah itu, seramai 138 ialah calon lelaki manakala 34 lagi calon wanita.

"SPR telah menerima dan mengesahkan sebanyak 172 kertas penamaan calon yang layak bertanding pada PRN Johor ke-16.

"Daripada jumlah itu, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing mempertaruhkan 56 calon, diikuti Perikatan Nasional (PN) 33 calon, Parti Bersama Malaysia (15 calon), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (empat calon), Bebas (enam orang), manakala Parti Orang Asli Malaysia (POAM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang.

"Tiada sebarang pencalonan ditolak oleh SPR," katanya pada sidang media selepas selesai proses penamaan calon PRN Johor hari ini.

Dari segi saingan pula, Ramlan memaklumkan sebanyak 27 kerusi DUN menyaksikan pertembungan tiga penjuru; 14 kerusi satu lawan satu; 12 kerusi empat penjuru; serta tiga kerusi lima penjuru.

SPR menetapkan 7 Julai ini bagi tarikh pengundian awal manakala 11 Julai sebagai hari pengundian.

Sebanyak 2,727,926 pengundi layak menjalankan tanggungjawab pada pilihan raya kali ini, terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera bersama pasangan dan 12,710 anggota polis berserta pasangan.

 

Must Watch Video

Advertisement