Skip to main content

Politik

PRN Johor: "Alhamdulillah, letaklah jawatan... " - Tok Mat ulas hasrat Nga Kor Ming berundur

Astro Awani
Mohamad berkata, urusan membentuk kerajaan negeri Johor tidak seharusnya dikaitkan dengan isu melibatkan Mohd Najib Tun Razak atau kerajaan Persekutuan. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

MUAR: Barisan Nasional (BN) tidak menghalang hasrat Nga Kor Ming untuk meletakkan jawatan sekiranya parti itu memenangi PRN Johor kali ini kerana perkara itu tidak mempunyai kaitan dengan pilihan raya negeri berkenaan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, urusan membentuk kerajaan negeri Johor tidak seharusnya dikaitkan dengan isu melibatkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak atau kerajaan Persekutuan.

“Alhamdulillah, letaklah jawatan. Memang kita nak dia letak jawatan. Kalau BN menang di Johor, kita hanya tubuh kerajaan negeri sahaja. Kerajaan negeri tidak ada kena-mengena dengan hal-hal di Persekutuan.

“Jadi janganlah cakap besar sangat. Kalau dia nak letak jawatan, letaklah jawatan segera. Tidak ada masalah bagi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sarapan pagi bersama calon Dun Simpang Jeram, Azman Ismail dan Dun Bukit Naning, Ghazali Sabari, di sini, hari ini.

Mengulas dakwaan BN berdepan kesukaran mencapai sasaran kemenangan 40 kerusi, khususnya di kawasan majoriti pengundi Cina, Mohamad enggan membuat spekulasi dan menyifatkan perkara itu sebagai subjektif.

“BN memberi tumpuan kepada kempen yang berasaskan rekod pentadbiran kerajaan negeri serta usaha meneruskan pembangunan Johor di bawah pimpinan Menteri Besar.

“Johor kini berada pada kedudukan terbaik dari segi penerimaan pelaburan asing, sekali gus dijangka meningkatkan hasil negeri dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya lagi.

Beliau berkata, peningkatan hasil negeri itu akan terus dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat menerusi pelbagai inisiatif dan bantuan yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Sebelum ini, dalam temu bual eksklusif bersama Oriental Daily, Timbalan Pengerusi DAP merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata DAP juga tidak menolak kemungkinan untuk menarik diri daripada kerajaan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia merupakan "garis merah" parti tersebut.

Beliau berkata, UMNO Johor telah berkali-kali menyuarakan secara terbuka hasrat supaya Najib dibebaskan lebih awal.

"'UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah' memang merupakan agenda UMNO. 

"Kita semua tidak perlu berpura-pura tidak tahu dan menipu diri sendiri. Ini adalah satu fakta yang pasti.

"Terus-terang cakap, jika benar-benar Najib dibebaskan hari ini tanpa sebarang kesalahan, saya akan menjadi orang pertama meletak jawatan," katanya.

Must Watch Video

Advertisement