JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang Khairuddin A Rahim, yang dicalonkan bertanding di kerusi DUN Rengit, merupakan antara tujuh calon terakhir PKR bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diumumkan parti itu.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Serbaguna Kampung Kopok Baru, Pasir Gudang, petang ini.

Dengan ini, parti itu telah selesai mengumumkan kesemua calon bagi 20 kerusi DUN yang akan ditandinginya pada PRN Johor 12 Mac depan.

Selain Khairuddin, turut diumum sebagai calon ialah Naib Ketua Wanita PKR Johor Haryati Abu Nasir, yang akan bertanding di kerusi Semarang; Haniff @ Ghazali Hosman (Benut); Mohd Zaiful Bakri (Kukup); Rosman Tahir (Tanjung Surat) dan Zulinah A Johari (Tenggaroh).

PKR turut menampilkan Omar Mokhtar A Manap, calon termuda parti berkenaan berusia 29 tahun, yang akan bertanding di kerusi Johor Lama.

Bagi Khairuddin, 62, yang pernah bertanding mewakili Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU14), beliau berharap rekod cemerlangnya ketika menjadi ADUN Senggarang akan menjadi asas kepada pemilihan dirinya kali ini.

"Saya berharap penduduk di DUN Rengit akan dapat menerima saya seadanya, sekali gus membawa kepada kemenangan Pakatan Harapan pada kali ini," kata beliau kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon itu.

Sementara itu, Omar menganggap pengumumannya sebagai calon merupakan hadiah paling manis sempena hari lahirnya yang ke-29 hari ini.

Beliau akan memperjuangkan isu-isu rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan Undi18, pada kempen beliau nanti.

Pada PRU14 lepas, PH menang 35 kerusi daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan. Pada ketika itu, PKR yang bertanding 12 kerusi memenangi lima kerusi iaitu Bukit Naning, Pemanis, Semerah, Bukit Batu dan Tiram.

Bagaimanapun, komposisi kerusi DUN yang dipegang mereka berubah apabila penyandang kerusi DUN Pemanis Dr Chong Fat Full mengumumkan keluar parti pada Mac 2020 manakala tiga penyandang kerusi daripada Amanah iaitu Muhamad Said Jonit (Mahkota), Khairuddin (Senggarang) dan Dr Faizul Amri Adnan (Serom), mengumumkan menyertai PKR pada Feb 2021, menjadikan kerusi PKR sebelum PRN Johor adalah tujuh.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRN Johor pada 12 Mac ini dengan penamaan calon pada 26 Feb manakala 8 Mac ditetapkan sebagai hari undi awal.

-- BERNAMA