PAGOH: Bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak sedikit pun mematahkan semangat penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, Kapten (B) Najib Lep.

Sebaliknya, pesara tentera dan ahli perniagaan itu yakin mampu mengulangi sejarah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, yang mana ketika itu beliau bertanding atas tiket Pas.

Menurut Najib, walaupun tidak lagi bersama Pas, beliau akan terus menyakinkan pengundi DUN tersebut mengenai keupayaannya untuk berkhidmat kepada rakyat jika diberikan mandat sekali lagi.

"Saya berkeyakinan tinggi bahawa saya boleh mendapat majoriti yang lebih kerana saya lihat daripada respon-respon yang diberi kepada saya oleh penduduk.

"Ini saya buat bukan (ketika) kempen pilihan raya sahaja, (tetapi) apabila dilantik sebagai Ahli DUN (ADUN), saya sudah buat kerja saya bersama rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat.

"Jadi, daripada penilaian prestasi, memberi satu keyakinan kepada saya bahawa saya boleh menang dalam pilihan raya ini.

"Sebagai ADUN bebas, apabila kita dapat mandat, suara boleh dibawa ke dalam sidang DUN," katanya ketika ditemui Astro AWANI, baru-baru ini.

Pada PRU14, Najib dipilih sebagai ADUN di kawasan berkenaan selepas menang dengan majoriti 1,883 undi mengalahkan Noriah Mahat daripada Barisan Nasional (BN).


Untuk PRN Johor kali ini, beliau berdepan pertandingan enam penjuru termasuk melawan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga daripada komponen Pas, selain bersaing dengan BN, Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan seorang lagi calon Bebas.

Mengulas lanjut, Najib menyedari bahawa calon Bebas sering dianggap tidak 'memiliki rumah' yang kukuh, menyebabkan para pengundi ragu-ragu untuk memberikan undi mereka.

Bagaimanapun, bagi Najib, jika calon Bebas itu diberikan mandat, kerjasama dengan setiap agensi kerajaan dan ketua-ketua masyarakat adalah penting dalam membangunkan kawasan DUN dan menjamin kebajikan rakyat.

"Saya mengambil sebagai satu cabaran untuk saya jelaskan kepada masyarakat. Parti Bebas (juga) boleh membawa kepada kepentingan masyarakat terjaga dan dapat direalisasikan.

"Ia seterusnya menjadikan kepentingan rakyat itu terbela dan dibawa kepada pihak kerajaan," ujarnya lagi.

Misi di DUN Bukit Pasir

Najib menambah, misinya untuk berkhidmat di DUN Bukit Pasir masih belum selesai dan perlu diteruskan demi amanah kepada rakyat.

Justeru, beliau menegaskan, pembangunan infrastruktur dan pendidikan antara yang akan difokuskan sekiranya dipilih sekali lagi sebagai ADUN kawasan tersebut.

Kata Najib lagi, beliau juga berhasrat merealisasikan perancangan membangunkan kawasan riadah 'Pagoh River Walk', yang mana kajian berhubung perkara itu telah pun dikemukakan kepada pihak kementerian.

"Ada lima universiti di sini. Mustahil di DUN Bukit Pasir, pembangunan dari sudut pendidikan dan keselesaan serta kelestarian rakyat, akan dilupakan.

"Jadi, itulah antara matlamat yang saya bawa. Dan di Pagoh, paling seronok, ada sebidang tanah berkeluasan 131 ekar milik tentera.

"Saya ada usulkan juga kepada kerajaan supaya bina cawangan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di sini," katanya.