JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor tidak akan berharap kepada manifesto semata-mata dalam usaha untuk memenangi mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengerusinya Datuk Hasni Mohammad, yang juga Menteri Besar Johor berkata, beliau tidak melihat janji dalam manifesto sebagai ‘kunci kemenangan’ untuk memenangi sesuatu pilihan raya, sebaliknya yang lebih penting ialah hala tuju yang jelas dan bertanggungjawab.

Jelasnya lagi, kekalahan BN Johor dalam Pilihan Raya Umum yang lepas yang mengakibatkan mereka kehilangan Johor buat kali pertama sejak merdeka adalah disebabkan pelbagai janji yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH), dan akhirnya tidak dipenuhi kesemuanya.

“Pada pilihan raya umu ke-14 dulu, kita tahu bahawa rakyat telah dijanjikan macam-macam oleh oleh manifesto mereka, dan akhirnya apa yang dijanjikan itu kita pun tahu, dan diakui pun oleh sesetengah pemimpin mereka bahawa ia tidak boleh dilaksanakan.

“Untuk BN pula ia adalah sebaliknya, sama ada manifesto, ataupun apa jua bentuk janji kita buat adalah merupakan satu responsible outline yang kita bentuk, supaya rakyat faham, apakah bentuk kerajaan yang kita nak, bagaimana kerajaan kita ini nak bela masa depan rakyat negeri ini,” katanya lagi.

BACA SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Sehubungan itu, Hasni berkata, apa yang penting ialah naratif yang ingin dibawa oleh BN Johor, terutamanya dalam meyakinkan rakyat tentang kerajaan pimpinan mereka mempunyai visi dan perancangan yang strategik untuk memakmurkan Johor.