KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan menyaksikan pertembungan tiga gabungan politik, iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim ketiga-tiga pencabar utama itu masing-masing mempunyai pengalaman dalam mentadbir kerajaan negeri Johor.

Justeru, beliau menegaskan pilihan raya ini bukan seperti Pilihan Raya Kecil (PRK) atau satu pentas untuk bereksperimen.

Sebaliknya, kata Hassan, pilihan raya ini adalah bagi membentuk kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

"BN paling lama memerintah di Johor sehingga ia ditumbangkan pada tahun 2018 dalam Pilihanraya Umum ke-14.

Manakala PH mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan Johor selama 22 bulan sehingga ia ditumbangkan angkara pengkhianatan melalui Langkah Sheraton pada bulan Februari tahun 2020.

"PN  yang terdiri daripada parti Bersatu juga ada pengalaman mentadbir di Johor ketika berada di dalam gabungan PH dan kemudian dalam kerajaan campuran BN-PN selepas Langkah Sheraton," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu menambah PH ketika mentadbir Johor selama 22 bulan juga ada kelemahan dan kegagalan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan PH berjaya dalam banyak perkara ketika mentadbir Johor bagi tempoh tersebut, ia termasuk kejayaan menarik pelaburan asing (FDI).

"Kerajaan PH telah mengadakan lawatan menarik pelaburan asing secara agresif dalam tempoh 22 bulan ia berkuasa.

"Hampir setiap bulan Exco Kerajaan Negeri Johor yang bertanggungjawab dalam perusahaan antarabangsa telah dihantar ke beberapa pusat ekonomi dunia untuk membawa pelaburan ke Johor.

"Hasil dari usaha yang bersungguh-sungguh itu, maka negeri Johor telah muncul sebagai negeri yang paling banyak menarik modal asing dari pertengahan tahun 2018 sehingga awal tahun 2020 sebelum kerajaan PH Johor ditumbangkan angkara pengkhianatan politik," ujar beliau.

Sehubungan itu, Hassan berkata, Keadilan dan PH menawarkan diri supaya dipilih sekali lagi oleh rakyat Johor pada PRN kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.