KOTA KINABALU: Senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dimuktamadkan selepas rundingan semua parti-parti komponen.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemilihan calon itu bukan hanya melihat latar belakang politik seseorang selain perlu diabsahkan oleh jentera parti.

Malah, jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, pengumuman mengenai calon pastinya diumumkan sebelum 26 Februari ini.

"Untuk (PRN) Johor, saya menyerahkan kepada Pengarah PRN Johor, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penyelaras pilihan raya, Datuk Seri Hasni Muhammad.

"Pastinya, (dari segi pencalonan) akan dimuktamadkan setelah perundingan dengan semua parti komponen BN selain melihat pelbagai latar belakang bagi diabsahkan jentera parti," katanya.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] 'PRN Johor bukan untuk bereksperimen'

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tri-Annual Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Ke-3, pada Sabtu.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 22 Januari lalu berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) untuk memberi laluan kepada PRN.

Pilihan raya itu diadakan ekoran kedudukan kerajaan pimpinan Hasni yang sebelum ini penyandang Menteri Besar Johor hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan menguasai 28 DUN manakala Pakatan Harapan (PH) pula 27 kerusi daripada 56 DUN.