JOHOR BAHRU: Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Zaini Tahar disahkan positif COVID-19.

Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin dalam satu kenyataan berkata, pimpinan Parti Pejuang telah menetapkan untuk menukar calon bagi DUN tersebut kepada Mohd Noorhisyam Ibrahim.

Jelas Ulya lagi, Zaini bagaimanapun tidak hadir pada Majlis Pengumuman Calon yang diadakan di Muar pada Khamis.

“Dukacita dimaklumkan bahawa calon N.32 yang diumumkan semalam telah didapati positif COVID-19 iaitu Zaini Tahar.

“Beliau juga tidak hadir dalam Majlis Pengumuman Calon semalam di Muar,” demikian katanya hari ini.

Semalam, Pejuang mengumumkan calon mereka di 42 kerusi DUN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata semua calon yang dikemukakan mempunyai latar belakang berbeza dengan 54 peratus merupakan mereka yang berusia 50 tahun ke bawah.

PRN Johor merupakan penampilan pertama Pejuang selepas parti itu tidak menyertaikan PRN Melaka dan Sarawak.

Esok adalah hari penamaan calon PRN Johor manakala hari pengundian ditetapkan pada 12 Mac dan undi awal pada 8 Mac.