JOHOR BAHRU: Ahli perniagaan serta aktivis, Datin Dian Lee Cheng Ling, 38, berharap penglibatannya dalam arena politik tidak dibayangi bapanya, Tan Sri Lee Kim Yew, taikun hartanah.

"Setiap kali saya melakukan sesuatu, bukan sekarang ini sahaja tetapi seluruh hidup saya ini, apapun yang ingin saya lakukan, orang akan kaitkan saya dengan bapa saya.

"Bagaimanapun, saya harap orang melihat saya sebagai seorang yang berdikari," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Graduan Royal Melbourne Institute of Technologies (RMIT) University Melbourne itu mula menyertai Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada 23 Dis 2021 dan kini Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) Muda.

SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Lebih dikenali sebagai Dian Lee, beliau berkata keputusannya menceburi politik kerana mahu membawa perubahan terhadap pembangunan di seluruh negeri ini terutamanya isu berkaitan kanak-kanak.

"Saya sangat berminat dengan isu kanak-kanak dan kita mesti melihatnya... daripada berbelanja untuk bina bangunan, lebih baik kita membantu kanak-kanak. Itu yang penting," kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Mengenai sama ada beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, Lee berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan pusat MUDA untuk membuat keputusan.

"Ini bukan keputusan saya. Tujuan saya sertai MUDA untuk berkhidmat kepada rakyat dan bangunkan parti ini. Kita tunggu sahaja MUDA buat pengumuman rasmi," katanya.

Baru-baru ini, penyertaan aktivis tersebut ke dalam parti baharu itu mendapat perhatian ramai serta tular di media sosial.

-- BERNAMA