PONTIAN: Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad mengakui berdepan saingan paling ramai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri kali ini, sejak beliau mula bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N53 Benut.

Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor berkata, situasi itu melambangkan sistem demokrasi berjalan dengan baik di negeri itu bagi memberi ruang dan peluang kepara calon-calon lain menambat hati pengundi.

“Pengalaman saya ini adalah bilangan yang paling ramai bertanding di kerusi N.53.

“Berdasarkan kepada suasana di Pusat Penaman Calon (PPC),  kita dapat melihat bahawa BN akan bertanding antara tiga hingga tujuh penjuru (di DUN tertentu).

“Ini merupakan satu keadaan di mana kita dapat melihat proses demokrasi berjalan begitu lancar dan dalam suasana penuh kemesraan antara calon-calon yang bertanding pada hari ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas proses penamaan calon selesai di sini, pada Sabtu.

Hasni, 63, akan ditentang Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Isa Ab Hamid daripada Perikatan Nasional (PN).

Dua lagi calon yang bakal memberi saingan kepada penyandang kerusi sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) itu ialah Iskandar Noor Ibrahim daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Haniff @ Ghazali Hosman (Pakatan Harapan).

Ditanya mengenai usaha Pejuang untuk 'menyekat' kemenangan BN pada PRN kali ini, Hasni berkata, tiada parti yang mahu berbuat demikian kepada parti lain.

Tegasnya, saingan pada PRN Johor kali ini berlangsung tanpa sebarang bantahan dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya dapat melihat parti-parti yang bertanding menyambut baik SOP yang diperkenalkan kerana ia memberi ruang dan peluang kepada setiap calon untuk berjumpa dengan pengundi-pengundi.

“Jadi atas dasar itu terpulang kepada calon-calon dan kita mempunyai ruang untuk berjumpa dengan setiap pengundi yang ada dalam kawasan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, penyandang kerusi DUN Benut sejak PRU12 itu menambah, BN telah menyusun gerak kerja tanpa sebarang masalah termasuk dalam memenuhi SOP yang ditetapkan.