JOHOR BAHRU: Pengakuan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad bahawa kerajaan negeri tidak stabil dengan majoriti satu kerusi, membuktikan beliau gagal, dakwa Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Dalam perkongsian di Facebooknya, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendakwa, kenyataan itu menandakan Menteri Besar Johor itu gagal mentadbir dan mengemudi kerajaan negeri.

“Apabila Datuk Hasni menyatakan kerajaan beliau yang juga ada satu kerusi majoriti tidak stabil, itu adalah pengakuan Datuk Hasni bahawa dia gagal mentadbir dan gagal mengemudi kerajaan negeri. Dia yang tidak mampu memimpin, bukan kerajaan tidak stabil.

“Yang sebenarnya tidak stabil itu adalah poket-poket dan akaun-akaun bank pemimpin UMNO yang tidak dapat merompak dengan bebas, kerana kewujudan EXCO daripada PN (Perikatan Nasional) yang menjadi semak imbang dalam pentadbiran,” dakwa Wan Saiful.

Pada 22 Januari lalu, Hasni, yang juga calon Menteri Besar jika BN memenangi Pilihan Raya Negeri kali ini berkata, beliau tidak mahu kerajaan negeri terus bergerak atas ihsan pembangkang.

Katanya lagi, sebagai contoh, beberapa rundingan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dapat berjalan kerana majoriti tipis satu kerusi, serta faktor Speaker DUN merupakan parti lawan.

Atas sebab itu, Hasni berkata, beliau perlu mendapatkan mandat baharu untuk memastikan UMNO dan BN dapat mentadbir negeri dengan stabil.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, Pas juga pernah memimpin Kelantan dengan hanya majoriti satu kerusi tanpa masalah yang besar.

“Kerajaan Pas Kelantan pada tahun 2004 menang dengan majoriti dua kerusi. Tetapi apabila seorang ADUN meninggal dunia, majoriti itu turun menjadi satu sahaja.

“Kerajaan itu kekal stabil sehingga PRU pada 2008. Maksudnya jika pandai mentadbir maka ia tiada masalah,” katanya lagi.