BATU PAHAT: Biar apa sekalipun nasibnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok, calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Baharudin Abdullah berikrar akan terus berkhidmat kepada rakyat.

Baharudin yang pernah terlibat dalam Misi Kemanusiaan 'Flood Flotilla For Myanmar Mission 2017' berkata, apa yang perlu dilakukan sebagai calon adalah berusaha mendekati rakyat dan berkhidmat kepada mereka.

Justeru, baginya, berdiri atas tiket Bebas bukan halangan untuk memberikan saingan pada PRN Johor kali ini.

"Jadi bila kita wujudkan Bebas ini ada respons yang sangat positif daripada mereka, dan kali ini kita cuba untuk pergi kepada Bebas untuk menyuarakan (tawaran) Bebas dan memberikan pandangan.

"Ianya memberikan saya semangat untuk terus buat kerja demi masyarakat tak kira saya menang atau pun tidak selepas ini. Tetapi itu memang dah dasar yang sama bawa dalam hidup, yang mana bagi saya islah itu sudah tidak ada, ataupun ianya sangat-sangat kurang daripada parti-parti lain.

"Jadi islah dan integriti itu saya cuba ketengahkan dan bawa di Senggarang ini," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, pada Jumaat.

Johor Memilih: Siapa menang, semua sudah tertulis di Luh Mahfuz - Calon Bebas DUN Senggarang

Graduan Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu juga optimis individu yang bakal menang pada hari pengundian esok sememangnya sudah tertulis di Luh Mahfuz.

Bagaimanapun, Baharudin berharap pengundi boleh memberi peluang kepada calon Bebas, walaupun sering dianggap ‘tiada rumah’.

“Saya atau calon-calon daripada empat yang bertanding memang sudah termaktub di Luh Mahfuz.

“Jadi, kita sahaja tak tahu hari esok (12 Mac) itu kemenangan berpihak kepada siapa.

“Sebagai manusia kita perlu usaha dan ikhtiar dan selebihnya berserah kepada Allah,” ujar calon yang menggunakan simbol jam itu lagi.

Pada PRN kali ini, Baharudin membawa beberapa misi untuk dilaksanakan di DUN Senggarang, antaranya menaik taraf infrastruktur kampung dan pekan Senggarang selain membuka peluang pekerjaan dengan mengadakan ‘zoning industry’.

Kerusi DUN Senggarang menyaksikan persaingan lima penjuru melibatkan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Faizi Ahmad Kamil, Mohd Yusla Ismail (Barisan Nasional), Abd Hamid Jamah (Amanah), Zalihah Jaffar (Pejuang) dan Baharudin (Bebas).