JOHOR BAHRU: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PIlihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan hadiah kepada seluruh rakyat di negeri ini, kata Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata, biarpun kemenangan yang diperolehi melebihi dari jumlah dua pertiga (38/56), namun BN tidak akan menyimpan perasaan sombong, riak, takbur, jauh sekali ujub.

Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, selaku Pengerusi BN, beliau akan mempersembahkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sebagai Menteri Besar Johor.

“Sebagaimana disebutkan, keputusan tidak rasmi adalah keputusan di luar jangkaan kita. Syukur. Namun tiada perasaan sombong, riak, takbur, jauh dari ujub. Kita berasakan bahawa kejayaan ini adalah merupakan hadiah untuk seluruh rakyat negeri Johor, yang telah memberikan kepercayaan kepada BN.

“Dan Insya-Allah, Ikhtiar Johor (manifesto) akan dilaksanakan, dan Insya-Allah kepimpinan pusat akan terus membantu Hasni bagi melaksanakan semua ikrar atau Ikhtiar Johor ini, dimulakan dengan Belanjawan Johor 2023,” katanya kepada sidang media.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan BN berjaya memperolehi 29 kerusi pada pukul 11.05 malam, jumlah minimum yang diperlukan untuk membentuk Kerajaan Negeri.

[LAPOR LANGSUNG] PRN Johor: BN menang majoriti mudah, 29 kerusi

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merafakkan sembah kepada Sultan Johor di atas perkenan Tuanku mengembalikan mandat kepada rakyat melalui pembubaran DUN Johor pada 22 Januari lepas.

KEPUTUSAN PRN JOHOR DI SINI

“Insya-Allah, Hasni akan mempersebahkan junjung kasih kepada Tuanku, dan bagi pihak BN, kami juga junjung kasih di atas budi baik Tuanku yang telah membubarkan Dewan Undangan Negeri ini, maka kejayaan ini tidak akan mengecewakan Tuanku, bagi BN mewujudkan kerajaan stabil di Johor.

“Untuk seluruh pengundi Johor, bagi pihak BN, kami ingin ucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi. Disebutkan yang mengundi atau tidak mengundi, kami ucap terima kasih. Dan jangan lupa undi BN ketika Pilihan Raya Umum nanti,” katanya lagi.