MERSING: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N32 Endau, Youzaimi Mohd Yusof menegaskan kerusi tersebut sememangnya bukan milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Youzaimi menjelaskan, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DUN Endau sememangnya milik BN yang ketika itu diwakili oleh Alwiyah Talib sebelum bertindak melompat parti Bersatu.

“Saya tidak boleh cakap itu kerusi Bersatu kerana wakil rakyat ketika itu mewakili BN tapi dalam masa terdekat beliau (Alwiyah) lompat ke Bersatu selepas dia menang.

“Saya yakin pengundi Endau masih berpihak kepada BN sebab N32 merupakan kubu kuat BN di Johor.

“Pengundi marah kerana ketika itu, mereka telah memberi mandat kepadanya (atas lambang dacing) jadi mereka harapkan wakil BN yang akan bekerja untuk rakyat,” katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon (PPC) selepas proses penamaan calon di sini, pada Sabtu.

Melihat kepada apa yang berlaku di Mersing, Youzaimi yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Mersing, berkata, aktiviti melompat" sememangnya terkenal di kawasan itu.

Bagaimanapun, perkara itu dipercayai mampu untuk menguatkan sentimen BN di kawasan tersebut.

“Di Mersing ini bukan DUN saja lompat, di kawasan Parlimen pun lompat juga jadi saya rasa pengundi memang marah dan jentera yang sudah bekerja keras pasti marah dan berkecil hati.


BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI 



“Jadi sentimen kepada BN itu sangat kuat terutamanya pengundi yang telah memberi mandat kepada parti itu,” ujarnya lagi.

BN bakal berdepan saingan empat penjuru membabitkan calon dari PN, PH, Pejuang, dan juga Bebas untuk kembali menakluk Endau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh undi awal pada 8 Mac manakala hari pengundian pada 12 Mac.