JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim hari ini memberi peringatan kepada Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tentang hasrat parti itu mahu bertembung dengan Parti Keadilan Rakyat.

Bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Johor itu berkata, MUDA harus lebih berhemah dalam membuat sebarang kenyataan, apatah lagi dengan usianya yang baru menjangkau empat bulan.

Hassan berkata, PKR walaupun sebuah parti radikal, namun mereka tidak pernah menggunakan ancaman dan ugutan dalam sesama pembangkang.

“Saya mengurut dada menahan sabar membaca laporan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi amaran akan berlaku pertentangan antara MUDA dengan PKR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini jika rundingan tentang kerusi menemui kegagalan.

“Garang sungguh amaran presiden parti MUDA yang baru berusia empat bulan tersebut. Kalau bayi, baru berumur empat bulan belum boleh makan nasi atau makanan keras. Kena minum susu saja. Perut bayi belum kuat untuk menghadam,” katanya lagi.

Awal hari ini Syed Saddiq berkata, partinya sejak dari awal komited untuk mengelakkan sebarang pertindihan antara sesama pembangkang.

Namun, katanya lagi, jika rundingan dengan PKR terus gagal sehingga ke saat terakhir, maka rakyat Johor akan menjadi penentu.

Biarpun tidak menyatakan secara jelas, namun kenyataan itu memberi bayangan MUDA sedia untuk bertembung dengan PKR di beberapa kerusi bandar.

Sebelum ini DAP dan Amanah telah memuktamadkan rundingan dengan MUDA, dan keputusan yang dicapai ialah parti pimpinan Syed Saddiq itu akan bertanding di enam kerusi yang diperuntukkan kepada DAP dan Amanah.

Enam kerusi itu ialah Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa, dan Bukit Permai.

Selain itu, media melaporkan, MUDA turut mengintai tiga lagi kerusi dari PKR iaitu Larkin, Kempas, dan Bukit Gambir, namun ditawarkan kerusi yang menjadi kubu kuat UMNO iaitu Tanjung Surat, Sri Medan, dan Semarang.

Dalam siri pengumuman calon PKR beberapa hari lepas, presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan nama bagi tiga kerusi yang diintai MUDA itu, sekali gus memberi bayangan rundingan mereka tidak berhasil.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, Syed Saddiq pemimpin generasi baru yang punya masa hadapan cerah, dan memang elok dan tepat untuk bekas Menteri Belia dan Sukan itu melangkah dengan tangkas dan berani.

Namun, katanya lagi, Syed Saddiq tidak perlu cepat menghunus keris untuk menikam, takut-takut nanti akan tertikam dengan keris sendiri.

“Penulis ini (merujuk pada dirinya sendiri) tidak banyak pengalaman. Sekadar mengenal politik di Johor sejak 1974 lagi. Sejak itu mengenal usaha pihak parti pembangkang berusaha membina front pembangkang.

“Penulis pernah ikut serta dalam usaha itu sejak 1986 ketika penulis menjadi setiausaha agung sebuah parti kiri yang radikal, lebih radikal ideologinya daripada parti MUDA sekarang.

“Tetapi kami, walaupun radikal, jika bermesyuarat, kami berbincang baik-baik. Tidak pernah kami gunakan ugutan dan ancaman sesama parti pembangkang,” katanya lagi.

Hassan berkata, Syed Saddiq sewajarnya kena pelajari sejarah PKR, yang lahir daripada perjuangan, membesar di jalan raya dan di dalam penjara dan tak akan berundur jika dicabar sesiapapun, hatta kepada mereka yang cepat menghunus pedang.

“Lihat bendera kami berwarna merah, itu maknanya keberanian berjuang. Lihat bendera kami berwarna biru, itu maknanya kami mencintai perdamaian dan keadilan.

“Maka berhati-hatilah jika mengeluarkan kata-kata, wahai sahabatku Syed Saddiq. Mungkin penulis ini sudah tua tetapi orang tua ini kenal perangai “anak muda julung berkeris”,” katanya lagi.