KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik memberi bayangan kesediaannya bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Begitupun, jelas Maszlee, semuanya terletak kepada keputusan parti dan apa sahaja keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau akan terima dan akur.

Menurut Maszlee, beliau sudah menggerakkan jentera di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasannya pada Jumaat dan tindakan itu sebagai persiapan menghadapi pilihan raya.

“Pada saya, yang penting adalah untuk memenangkan Pakatan Harapan (PH) di Johor bermula di Simpang Renggam.

BACA: Pembubaran DUN ikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri - MB Johor

BACA: DUN Johor bubar: UMNO-BN sengaja pilih waktu ini supaya ramai tidak keluar mengundi?

“Kalau ia memerlukan kepada saya bertanding dan itu arahan daripada parti, saya akur. Tapi yang penting di mana pun saya, saya akan bekerja keras, bertungkus-lumus bersama pasukan saya di Simpang Renggam untuk memastikan kita tawan semula Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memberikan keterangan di  Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi berhubung siasatan memorandum melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada Sabtu.

Isu Azam Baki | Maria Chin, Fahmi hadir bagi keterangan

Setakat ini, Maszlee masih belum menerima sebarang arahan daripada PKR berhubung pencalonan namanya dalam PRN Johor.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan semasa pentadbiran PH telah disebut-sebut sebagai antara nama calon Menteri Besar (MB) Johor seandainya PH memenangi PRN kali ini.

Sumber memaklumkan kepada Astro AWANI, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkemungkinan besar akan ditempatkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang.

BACA: PRN Johor: Maszlee bakal calon MB Pakatan Harapan, mungkin bertanding di DUN Layang-Layang - Sumber

Sementara itu, seperti yang diumumkan sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berhubung perjalanan PRN Johor, pada 9 Februari ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, tarikh mesyuarat itu ditentukan selepas SPR secara rasmi menerima notis dari Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat, berhubung pembubaran DUN Johor.

PRN Johor | Utamakan rakyat, bukan hanya fikir kemahuan politik

Ikmalrudin berkata, pembubaran itu adalah selaras dengan Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895.

Katanya lagi, mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan oleh Datuk Abdul Ghani Salleh, selaku Pengerusi SPR.