KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan mula mengumumkan calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor minggu depan dengan ramai wanita akan diketengahkan kali ini.

Menurut Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pengumuman itu akan dibuat selepas pucuk pimpinan selesai mengadakan perbincangan mendalam. 

"Penting tampilkan pasukan mewakili rakyat Johor berbilang bangsa dan agama dan (Muda akan) calonkan ramai wanita.

"Muda nak jadi parti masa depan negara, (jadi) nak pastikan perwakilan wanita agak besar. Nama calon dan kerusi mana bertanding masih dibincangkan di peringkat Muda dan akan dimaklumkan kepada media.

"Calon pertama akan diumumkan minggu depan...saya akan maklumkkan kepada media," jelasnya dalam sidang media selepas Pelancaran Muda di ibu negara pada Jumaat.

SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Tambah Syed Saddiq, politik khidmat dan politik dasar akan menjadi fokus parti itu dalam menambat hati pengundi dalam PRN Johor.

Jelasnya, Muda bukan hanya tampil sebagai parti biasa, malah menjadi parti yang akan mengubah landskap politik bermula di Johor dan seluruh negara.

"Penting untuk kita lihat satu pasukan bukan satu calon sahaja, mereka ini berpengalaman berkhidmat, mereka ini datang pelbagai latar belakang, bangsa dan agama.

"Ramai perwakilan wanita, orang kuat bekerja, ada pengalaman dalam pengubalan dasar dan aada minat politik dasar.

"Muda memang fokus politik dasar dan khidmat, fokus kami mengubah lanskap politik Johor dan Malaysia melalui politik dasar dan khidmat," jelasnya lagi.

Ujarnya, sehingga kini parti itu telah dianggotai seramai 76,000 ahli di seluruh negara.