JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Muda (MUDA) disaran mempertimbangkan semula keputusannya untuk meletak calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ini kerana rundingan antara PKR dan MUDA telahpun tamat selepas ia tidak mencapai persetujuan.

"Cuma perbincangan itu masih ada, pihak Keadilan sebagai contoh ada ... (sebelum) mengumumkan calon, memberi ruang kepada Muda berunding lagi.

"Tetapi malangnya dalam isu sekarang pada saat akhir... dalam keadaan momentum sudah baik supaya rakyat kembali bersama dengan Pakatan Harapan (PH), kenapa satu kerusi ini bermasalah?

"Adakah ini akan dikatakan budaya cabar mencabar? Ia bukan tentang menang jadi arang, kalah jadi abu. Kita sebenarnya nak menang untuk pihak rakyat, (dan) ini bukan soal parti mana ataupun nak berebut kerusi.

"Isunya sekarang calon Keadilan di (DUN) Larkin ini adalah yang terbaik yang kami boleh tonjolkan, yang akan menjadi gandingan supaya di Larkin, pengundi ada pilihan yang terbaik dan terserah kepada orang Larkin untuk memastikan isu-isu rakyat dapat diangkat di peringkat negeri," katanya dalam sidang media pertembungan parti-parti politik di kerusi N.44 DUN Larkin, di sini pada pada Jumaat.

Hadir sama calon PKR di DUN Larkin, Dr. Zamil Najwah Arbain.

BACA: PRN Johor: Apa motif MUDA letak calon di DUN Larkin? - Akmal Nasrullah

MUDA pada Khamis mengumumkan Ketua Penerangan MUDA, Johor Rasid Abu Bakar sebagai taruhan parti itu untuk kerusi tersebut.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, setakat ini pihaknya tidak dihubungi oleh MUDA atau wakilnya berhubung isu pertembungan kerusi di DUN tersebut.

Bagaimanapun, Pengarah Kempen DUN Larkin itu berharap isu pertembungan kerusi tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam menjelang Penamaan Calon yang ditetapkan esok (26 Mac).

Dalam masa yang sama, Akmal menambah beliau percaya Amanah dan DAP akan memberikan sokongan kepada PKR di kerusi DUN Larkin sebagai sebuah parti komponen dalam PH.

"Bagi saya DAP dan Amanah perlu menyatakan komitmen bahawa kita mengangkat semangat PH.

"Kalau betul MUDA masih nak langgar kerusi di Larkin, (atas prinsip) hak demokrasi kerana mungkin tidak berlaku satu perjanjian dengan PKR. Tetapi PH sendiri pun masih terikat sebagai satu gabungan, maka itulah pengharapan daripada pihak kami agar PH meletakkan kepentingan PH dahulu," ujar beliau lagi.

Tegasnya, agenda utama PH adalah untuk mengatasi isu-isu rakyat di DUN Larkin terutamanya melibatkan pemilikan tanah dan kebajikan pengundi bandar dan separa bandar.

Kerusi DUN Larkin akan menyaksikan pertembungan lima penjuru antara gabungan Muda yang diwakili Rasid Abu Bakar, calon PKR,  Zamil Najwah, Ketua Pemuda UMNO Johor Hairi Md Shah, bekas wartawan dan setiausaha akhbar Zulkifli Bujang (Perikatan Nasional), serta Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang).