Skip to main content

Politik

PRN Johor: Parti lawan parti, politik tidak wajar kaitkan institusi raja - PM

TANGKAK, 22 Jun -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16 di Bukit Gambir, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar menghadiri majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16 di Bukit Gambir, hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

TANGKAK: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu kekal sebagai pertandingan antara parti politik tanpa melibatkan atau mengaitkan mana-mana institusi lain, termasuk institusi raja-raja Melayu.

Perdana Menteri berkata, dalam sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, setiap pihak perlu memahami batas peranan masing-masing serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan salah faham politik.

“Saya nak nasihatkan biar PRN ini PRN antara parti. Jangan kaitkan (dengan pihak lain).

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Johor di Bukit Gambir, di sini pada malam Isnin.

Dalam pada itu, Anwar turut menekankan kepentingan hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dengan institusi raja-raja Melayu khususnya di Johor.

Beliau turut menceritakan pertemuan dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menurutnya berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh rasa hormat, menggambarkan hubungan baik antara kedua-dua pihak.

"Tadi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail ke Kuala Lumpur dan saya menghadap. Kenapa? Kerana hubungan kita dengan raja-raja Melayu harus kekal baik.

"Sebelum ini, Tunku Mahkota Ismail sebut PMX ini sahabat saya. Apalah saya ini anak kampung ceruk-ceruk, kahwin dengan Azizah satu-satunya.

"Tetapi, seorang Pemangku Raja anggap saya sebagai sahabat, sebab itu bila Tunku Mahkota berangkat ke Kuala lumpur dan kata boleh menghadap saya pun terima dengan baik.

"Ini sendiri sudah menjawab kempen-kempen politik kotor yang dimainkan segelintir pihak. Ini tidak, hendak lawan politik tak berani tetapi gunakan nama raja," katanya.

Tambah Anwar lagi, pihaknya telah menerangkan kepada Tunku Mahkota Ismail berhubung inisiatif diambil kerajaan Persekutuan untuk membantu pembangunan di Johor, termasuklah melibatkan peruntukan yang diberi.

"Saya terangkan kepada baginda peranan PH, bahawa kerjasama antara orang Melayu, Cina, India dan Orang Asli adalah penting. Saya hargai titah pandangan baginda dan kita terima dengan baik.

"Tetapi jika soal projek sangkut sebelum 2018 dan selepas itu, jangan tanya Anwar Ibrahim, jangan tanya PH, sebaliknya tanyalah kerajaan dan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN)," katanya. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement