SEGAMAT: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah, N. Saraswati yakin mampu memberi ‘kasih sayang’ dan perubahan drastik dalam pembangunan serta taraf ekonomi masyarakat di kawasan itu.

Katanya, pada pecutan terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini, beliau mengatur strategi untuk mendengar keluhan seramai mana pengundi yang boleh di kawasan itu bagi membolehkannya menyelesaikan permasalahan mereka sekiranya diberi mandat 12 Mac ini.

“Antara mesej yang disuarakan pengundi adalah mereka tidak lagi menerima peruntukan, contohnya daripada Jabatan Pertanian seperti sebelum ini, yayasan pembangunan wanita juga masih banyak yang terhad sebab (ianya) hanya sampai di bandar-bandar sahaja dan tidak ke kawasan kampung.

“Di DUN ini kebanyakan pengundinya berbangsa Melayu yang mana mereka semua memerlukan ‘kasih sayang’ daripada saya sebagai calon baharu di sini yang mana saya akan bantu tingkatkan taraf hidup mereka khususnya golongan suri rumah,” katanya kepada Astro AWANI.

Pada PRN kali ini, ibu kepada dua anak itu bakal berdepan saingan empat penjuru menentang penyandang kerusi DUN itu, Dr Sulaiman Mohd Nor mewakili Pakatan Harapan (PH); Normala Sudirman (Perikatan Nasional) dan Norizan Sahardin (Pejuang).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Sulaiman memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,355 menewaskan calon BN menerusi saingan dua penjuru.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Wanita MIC negeri Johor turut berkata, beliau akan meletakkan fokus penuh kepada isu pembangunan belia, suri rumah dan taraf ekonomi pengundi khususnya dalam sektor pertanian.

“Saya menawarkan pelbagai tawaran yang mana saya akan pastikan pendidikan, kebajikan serta pembangunan melalui skill training (latihan kemahiran) di DUN ini dapat diubah seiring dengan bandar-bandar pesat di negeri ini.

“Jaringan jalur lebar di sini juga terhad dan membataskan golongan belia yang aktif dalam permainan atas talian selain tiada koperasi khas yang membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan secara terus bagi membangunkan aktiviti belia,” tambahnya.