Skip to main content

Politik

PRN Johor: Peratusan keluar tinggi kunci kemenangan Pakatan Harapan - Suhaizan

Sumber: FB Suhaizan Kayat
Suhaizan berkata, kestabilan kerajaan negeri dan Persekutuan saling berkait serta tidak boleh dilihat secara berasingan. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Larkin, Suhaizan Kayat percaya kadar keluar mengundi yang tinggi mampu meningkatkan peluang gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut Ahli Parlimen Pulai itu, corak pengundian di Larkin menunjukkan penyokong PH lebih dipengaruhi sentimen semasa dan tahap keyakinan terhadap parti berbanding pengundi tradisional.

"Pengundi BN mempunyai kelompok pengundi setia yang konsisten.

"Pengundi PH pula lebih sensitif terhadap isu semasa dan tahap keyakinan mereka terhadap parti.

"Jika mereka merasakan ada harapan dan kepentingan untuk mengundi, mereka akan keluar mengundi," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau berkata, apa yang berlaku di Johor turut memberi kesan kepada landskap politik nasional dan sebab itu pengundi perlu keluar mengundi pada 11 Julai ini.

Menurutnya, kestabilan kerajaan negeri dan Persekutuan saling berkait serta tidak boleh dilihat secara berasingan.

Dalam pada itu, Suhaizan turut mengulas spekulasi berhubung kemungkinan kerjasama atau penjajaran politik melibatkan UMNO dan Pas.

Katanya, Kerajaan Perpaduan dibentuk melalui kerjasama antara PH dan BN, bukannya Pas.

"Kerajaan Perpaduan dibina atas kerjasama antara PH dan BN, bukannya dengan Pas," katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan sebarang persepsi mengenai hubungan antara UMNO dan Pas boleh mempengaruhi tingkah laku pengundi dan mendorong kumpulan tertentu keluar mengundi dalam jumlah lebih besar.

Suhaizan turut menolak tanggapan bahawa PH mengabaikan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Beliau merujuk kepada pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu Palestin serta bantuan Persekutuan kepada Kelantan dan Terengganu sebagai bukti kerajaan tidak meminggirkan negeri majoriti Melayu dan Islam.

"Kita melihat pendirian Perdana Menteri yang lantang mempertahankan hak rakyat Palestin dan isu-isu yang melibatkan umat Islam.

"Kerajaan juga membantu negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu walaupun negeri-negeri itu tidak ditadbir oleh PH," katanya.

Menurutnya, tindakan kerajaan membantu negeri-negeri berkenaan menunjukkan kepentingan orang Melayu dan Islam tetap diberikan perhatian walaupun terdapat perbezaan politik.

DUN Larkin menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada PRN Johor kali ini antara Suhaizan, penyandang Mohd Hairi Mad Shah daripada BN dan calon Parti Bersama Malaysia, Norsinah Abu.

Must Watch Video

Advertisement