JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) mampu merencana dan memacu pembangunan Johor agar menjadi sebuah negeri yang maju, serta kemakmurannya dapat dinikmati setiap lapisan masyarakat, kata Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Presiden Bersatu, menyeru seluruh bangsa Johor supaya menyokong dan mengundi calon-calon PN yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Inilah peluang keemasan bagi bangsa Johor untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang bersih, berintegriti, bertanggungjawab dan prihatin rakyat," katanya menerusi hantaran di akaun rasmi Facebook beliau, malam ini.

SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Muhyiddin turut menegaskan 56 calon PN terdiri daripada mereka yang berkelayakan, berkelulusan, berpengalaman, berakhlak dan berhemah tinggi, serta memenuhi kriteria diperlukan untuk menjadi seorang wakil rakyat.

"Setiap calon terpilih telah menjalani dan melepasi proses tapisan yang ketat, bagi memastikan mereka bersih daripada sebarang salah laku, bebas daripada kes mahkamah seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Kesemua calon akan menandatangani aku janji dan mengangkat sumpah menolak segala perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan berikrar memikul tanggungjawab serta amanah bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih," katanya.

Hari ini adalah penamaan calon bagi PRN Johor manakala hari pengundian ditetapkan pada 12 Mac depan, dengan 8 Mac untuk pengundian awal.

-- BERNAMA