Skip to main content

Politik

PRN Johor: “Puad bukan lagi ahli parti, dia hendak ke mana UMNO tidak kisah” - Khaled

PRN Johor, Khaled Nordin. Astro AWANI
Mohamed Khaled bercakap kepada media selepas hadir ke Program Ilmiah Keagamaan Masyarakat (PIKAT) di Kota Tinggi pada Ahad. - Foto Astro AWANI/Nasruddin Samad
Advertisement

KOTA TINGGI: UMNO tidak mengambil peduli dengan tindakan Datuk Mohd Puad Zarkashi yang menghadiri program Pakatan Harapan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana kerana beliau bukan lagi ahli parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mendakwa, tindakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu juga didorong faktor peribadi selepas anaknya tidak dicalonkan.

“Pertama, dia bukan lagi ahli UMNO sebab dia dah letak jawatan, jadi dia hendak pergi mana-mana pun UMNO tidak ambil kisah.

“Soal dia pergi ke Rengit itu, daripada tindak-tanduk itu kita boleh tahu dan kesan mengapa dia lakukan itu semua kerana dia berkait rapat dengan soal yang dia hendak… dia mencadangkan anaknya untuk gantikan dia dan oleh kerana anaknya tak dapat dicalonkan, agaknya dia hendak pastikan yang dapat itu tidak boleh menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kehadiran Mohd Puad ke kempen PH di Johor Bahru pada Sabtu, yang turut disambut mesra oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas program itu berakhir, Mohd Puad berkata, kehadirannya adalah bagi memenuhi jemputan seorang rakan selain menyatakan sokongan kepada calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik.

Pada Sabtu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu mengumumkan di media soal menyokong calon PH, Mohamad Yazid Bakri yang bertanding di DUN Rengit.

Mengulas lanjut kehadiran Mohd Puad itu, Khaled berkata, kini ia sudah terbukti bahawa tindakan berkenaan itu tidak lagi berkait dengan perjuangan parti.

“Jadi ia nampak sangat sudah menjadi satu perjuangan peribadi. Jadi biarlah dia dengan cara dia. Barisan Nasional tidak goyah kerana BN berdepan cabaran yang lebih besar daripada itu,” katanya.

Pada 25 Jun lalu, Mohd Puad mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki kemudian mendakwa Mohd Puad pernah mengugut untuk keluar parti jika anaknya tidak dicalonkan bagi kerusi DUN Rengit.

Must Watch Video

Advertisement