Skip to main content

Politik

PRN Johor: ‘Silap hari bulan kita bergabung nanti’ - Gurauan bakal calon PN, BN Sedili curi perhatian

Sumber: Astro AWANI
Rasman (kanan) dan Muszaide (kiri) ketika bertemu di Pusat Penamaan Calon Dewan Serbaguna Sedili Besar, Kota Tinggi, hari ini. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KOTA TINGGI: “Silap hari bulan kita bergabung nanti... bukan boleh percaya...”

Demikian seloroh calon Perikatan Nasional (PN) Sedili, Rasman Ithnain kepada penyandang kerusi itu, Muszaide Makmor daripada Barisan Nasional (BN), yang bakal bertanding mempertahankan kawasan ini.

Gurauan itu mencetuskan suasana santai di Pusat Penamaan Calon Dewan Serbaguna Sedili Besar di sini pagi ini walaupun kedua-duanya bakal berentap merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Pertembungan itu turut mencuri perhatian kerana Rasman bukanlah nama asing di kawasan berkenaan.

Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili selama tiga penggal bermula 2008 atas tiket UMNO sebelum meninggalkan parti itu pada 2018 untuk menyertai Bersatu.

Ketika baki hampir 30 minit sebelum proses penamaan calon berakhir, tiga calon sudah menyerahkan borang pendaftaran termasuk wakil Pakatan Harapan, Amirul Husni Onn.

Pengurus Pilihan Raya N.36 Sedili, Nurul Ashikin A. Jabar akan membuat pengesahan calon yang layak bertanding selepas proses penamaan tamat.

Dalam PRN Johor yang lalu pada 2022, Muszaide menewaskan tiga pencabarnya apabila meraih 12,063 undi iaitu majoriti 5,679 undi atau 29.9 peratus.

Mohd Hasnolhadi Mohd Sebalas (PN) menjadi pencabar terdekat apabila meraih 6,384 undi, diikuti Tariq Ismail Mustafa (Pejuang) dengan 211 undi dan Mat Khairi Samsudin (Pakatan Harapan) dengan 333 undi.

Must Watch Video

Advertisement