KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan telah bertemu Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada pagi Isnin.

Jelas Anwar dalam ciapan di Twitternya, beliau menerima kunjungan Ahli Parlimen Muar itu di pejabatnya hari ini.

"Pagi tadi saya dikunjungi Presiden Muda dan Ahli Parlimen Muar YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di pejabat.

"Kami berbincang soal masa depan dan perihal pembangunan anak muda di negara ini," jelasnya.

Tambah Anwar, turut disentuh dalam perbincangan itu berhubung strategi dan perjalanan pihak pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Kami juga turut menyentuh tentang strategi dan perjalanan Pilihan Raya Negeri Johor yang akan berlangsung tidak lama lagi," kata Anwar lagi.

Terdahulu, Syed Saddiq ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin memaklumkan beliau akan mengadakan rundingan bersama parti pembangkang secara tertutup.

Ujarnya, antara fokus ketika ini adalah memastikan pembangkang bersatu dalam menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya itu.

Sebelum ini, Anwar juga memaklumkan bahawa beliau akan berbincang selepas Muda mengemukakan senarai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi parti itu.