KUALA TERENGGANU: Parti Amanah Negara (Amanah) tidak pernah berbincang untuk  membentuk kerjasama  bersama Pas bagi menghadapPilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presidennya, Mohamad Sabu menegaskan, setakat ini topik mahupun isu berkenaan tidak pernah dibangkitkan apatah lagi untuk dibincangkan.

Jelasnya lagi pihaknya juga tidak pernah menawarkan diri untuk membentuk kerjasama bersama parti berkenaan.

"Tak ada... sekarang  ini kita belum bincang  sebab pemimpin macam inilah susah kita nak pegang (pendirian)... every week dia akan ubah pendirian dia... jadi  kita tak boleh pegang apa yang dia nak bercakap minggu depan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah politik di sini, malam tadi.

BACA SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Terdahulu media melaporkan Pas akan bekerjasama dengan Amanah untuk menghadapi PRN Johor jika parti tersebut meninggalkan DAP.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dilapor berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan bekas pemimpin Amanah supaya Pakatan Harapan (PH) menghulurkan bantuan kepada Pas dan Bersatu dalam PRN Johor.

Dalam pada itu Mohammad berkata persiapan awal untuk menghadapi PRN Johor bersama gabungan yang lain dalam PH berjalan lancar.