JOHOR BAHRU: UMNO bersama-sama Barisan Nasional (BN) akan terus mara ke hadapan, dan akan meninggalkan episod pertelingkahan antara parti itu dan Pas, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, tiada faedah untuk terus melayan Pas, kerana parti itu secara berterusan melemparkan segala ugutan, tohmahan, dan sanggahan terhadap UMNO.

Dalam cacatan terbaharu di Facebooknya, Mohamed Khaled berkata, pendirian UMNO ketika ini sudah terang lagi bersuluh, iaitu memastikan BN berjaya mendapat mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang.

“Pas terus melemparkan segala ugutan, tohmahan dan sanggahan terhadap UMNO. Tiada faedahnya terus melayan karenah Pas. Pendirian UMNO telah terang lagi bersuluh.

“Hanya Pas yang tidak tahu apa yang ia kehendaki. Susah kalau orang kegilaan talak ini kerana dalam fikiran mereka dibuang sayang, ditelan pahit. Misi UMNO dan BN seterusnya ialah untuk terus mara ke hadapan dan meninggalkan episod ini,” tegasnya lagi.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Bersatu tidak ambil mudah pengundi baharu - Wan Saiful

BACA: Abdul Hadi dakwa UMNO masih amalkan politik sempit


Pada 2 Februari, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan parti pimpinannya itu tidak akan sekali-kali diperbodohkan dengan ‘politik sempit’ UMNO.

Menerusi catatan Minda Presiden Pas di Facebooknya pada Rabu, Ahli Parlimen Marang itu mendakwa UMNO masih lagi membawa pendekatan ‘asabiyyah’ Melayu yang hanya melibatkan dua parti sahaja dan meminggirkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Malah Abdul Hadi mendakwa UMNO juga meminggirkan masyarakat majmuk melalui pendekatan yang telah gagal melalui BN.

Mengulas mengenai tuduhan itu, Mohamed Khaled berkata, yang akan menentukan kemenangan BN ialah sokongan masyarakat majmuk Johor.

“Yang akan menentukan kemenangan BN ialah sokongan masyarakat pelbagai kaum. Jadi keutamaan mesti diberikan untuk meraih sokongan masyarakat majmuk Johor.

“Rakan-rakan UMNO dalam BN mesti memahami ini. Bahawa kemenangan mereka tidak lagi boleh disandarkan kepada UMNO semata-mata.

“Mereka mesti tampil meyakinkan pengundi bukan Melayu bahawa BN mesti dikembalikan semula sebagai Kerajaan,” katanya lagi.

Meningkatkan sokongan bukan Melayu, kata Mohamed Khaled, mesti menjadi strategi paling penting, berlandaskan formula perkongsian kuasa yang tulen, dan bersama-sama bersama-sama kerajaan untuk memperbaiki sosial, ekonomi, dan politik di negara ini.

“Pertama, kita mesti kembali kepada formula politik berkongsi kuasa dalam semangat perkongsian yang tulen. Bukan hanya melantik seorang dua wakil bukan Melayu dalam Kerajaan sebagai gambaran sebuah kerajaan yang inklusif.

“Kedua, masyarakat bukan Melayu adalah bahagian penting dalam kehidupan sosial, ekonomi dan politik Malaysia. Sampai bila mereka harus mempunyai perwakilan sipi-sipi dalam Kerajaan dan pentadbiran?” soal Mohamed Khaled lagi.

Walaupun BN bukan sempurna, Mohamed Khaled berkata, gabungan itu jauh lebih baik berbanding Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.