TANGKAK: Tidak ada sebarang keperluan untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk mengisytiharkan darurat susulan peningkatan kes COVID-19 yang mendadak ketika ini, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, lonjakan angka kes jangkitan itu melibatkan seluruh negara dan bukan hanya di Johor sahaja.

“Ada satu sahaja kaedah yang membolehkan PRN ditangguhkan iaitu dengan cara mengumumkan darurat seluruh negeri Johor, itu sahaja.

“(Tetapi) perkara itu tidak akan berlaku kerana sebelum ini ketika di (PRN) Melaka kes COVID-19 juga ada, namun Kementerian Kesihatan (KKM) mahupun saya sendiri berulang  kali mengatakan bahawa kita terpaksa hidup dengan COVID-19 ini.

“(Jadi) tidak ada sebab untuk kita isytihar darurat di Johor sebab kes jangkitan COVID-19 yang tinggi meliputi seluruh negara. Jadi kalau darurat itu diisytihar di Johor kita terpaksa umum seluruh negara (juga) dan tentulah rakyat tidak boleh terima,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri program Ramah Mesra bersama Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Ledang yang diadakan secara tertutup di Dewan Putra, Padang Lerek, di sini.

SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menangguhkan PRN Johor atau membenarkan parti yang bertanding untuk berkempen secara terbuka.

Majlis itu berkata, ia bagi memastikan tiada pihak menjadikan peningkatan kes COVID-19 sebagai alat bagi tujuan politik walaupun kes jangkitan harian menunjukkan trend peningkatan akibat varian Omicron.

Dalam pada itu mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor katanya, beliau percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat pertimbangan terbaik dengan nasihat KKM.

“Kita dah buat SOP yang ketat di Melaka dan ia dikeluarkan oleh SPR yang mana ia dilakukan selepas mendapat nasihat KKM dan saya percaya SPR akan buat pengumuman dalam masa terdekat,” tambahnya.

Justeru jelasnya, beliau mengharapkan semua pihak mematuhi SOP terbabit.