SEREMBAN: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan dakwaan kononnya beliau 'menjual kerusi' kepada calon yang dipertaruhkan di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Beliau berkata, sekiranya dakwaan itu benar, parti itu kini tidak berdepan dengan masalah kewangan dan hanya berkempen secara ala kadar berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Kalau saya boleh jual kerusi… saya ingat kita tidak ada masalah duit, kita tidak ada masalah berkempen dan sebagainya (kerana) kalau kita lihat kami berkempen dalam keadaan begitu ala kadar.

“Malah sebenarnya bebanan kepada pimpinan dalam menghadapi pilhan raya ini amat getir amat besar. Tetapi tidak apalah, kepada mereka yang telah membuat fitnah saya ampunkan mereka supaya mereka tidak payah cari saya di padang Mahsyar nanti,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best di Sendayan, di sini, malam tadi.

Ahmad Faizal mengulas kenyataan calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Mohammed Hafiz Baharudin yang mendakwa berlaku penjualan dalam pemilihan calon PN Negeri Sembilan.

Ini kerana, dakwa Mohammed Hafiz, senarai calon yang diketengahkan sangat lemah dan tidak berpotensi untuk menang.

Dalam pada itu, ditanya mengenai keyakinan PN memenangi sekurang-kurangnnya 19 kerusi DUN Negeri Sembilanm, Ahmad Faizal berkata, mereka optimis ia mampu dicapai untuk membolehkan parti itu membentuk kerajaan negeri.

Katanya, bukan sahaja sokongan orang Melayu, sebaliknya dapatan kajian dalam tempoh seminggu ini mendapati berlaku angin perubahan sokongan oleh pengundi Cina dan India.

“Walaupun adalah juga ‘nyamuk’ di sana dan sini, tetapi jangan ambil kira (kerana) saya lihat dalam UMNO pun sama.

“Sekarang gerak kerja kita amat cantik dan saya lihat perkembangan positif (dan) ada potensi (PN) mendapat 19 kerusi atau lebih untuk tubuh kerajaan kerana bukan sahaja mendapat pengundi Cina tapi juga India yang di dapati berlaku perubahan amat ketara,” tambah beliau lagi.