SEREMBAN: Pengenalan Kad Nismilan Prihatin, inisiatif Tani Mudo, memperkukuh keselamatan jalan raya dan memperluas internet percuma antara tawaran Perikatan Nasional (PN) buat rakyat Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

PN juga memperkenalkan Skim Siswa Nismilan (SSN), bantuan awal pengajian RM1,200 untuk anak Negeri Sembilan yang akan mendaftar masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Selain itu, bantuan one-off berjumlah RM850 kepada pelajar baharu diploma dan RM600 kepada pelajar baharu sijil atau matrikulasi buat anak tempatan yang memerlukan turut ditawarkan.

Semua tawaran itu antara yang disenaraikan dalam Manifesto PN Negeri Sembilan yang diumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu secara dalam talian pada Sabtu.

Selain itu, Bantuan Permulaan Sekolah sebanyak RM100 untuk pelajar yang baru mendaftar dan memulakan persekolahan di bawah Program Pendidikan Khas turut ditawarkan kepada rakyat Negeri Sembilan.

Menurutnya, gabungan itu juga akan memperuntukkan RM15 Juta untuk memperkukuhkan keselamatan jalan raya dan memperluaskan WiFi percuma ke seluruh negeri.

Katanya lagi, gabungan itu juga menawarkan dana Nismilan Mudo dan Tani Mudo dengan peruntukan berjumlah RM2 juta setahun.

Menurut Ahmad Faizal, PN juga akan menyediakan Subsidi Tambang Bas Sekolah sebanyak 20 peratus dan memperuntukkan RM1.5 juta untuk pemberian Biasiswa Anak Sekolah Nismilan (BASN).

Di samping itu, peruntukan berjumlah RM2 juta setahun akan disediakan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, termasuk aspek pendigitalan pendidikan di Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di negeri itu.

Menurut Ahmad Faizal, PN juga akan memperkenalkan inisiatif Ibu Prihatin Nismilan dengan pemberian subsidi kos bersalin sebanyak 10 peratus atau maksimum RM300 di hospital kerajaan bagi ibu yang melahirkan anak pertama di Negeri Sembilan.

Beliau menambah, parti itu juga akan membangunkan River Cruise seperti di Sungai Linggi, Rembau sebagai destinasi ekopelancongan menerusi inisiatif pengindahan sungai serta penambahbaikan prasarana mesra alam.

Katanya lagi, Jawatankuasa Khas yang dianggotai pakar pelbagai bidang akan ditubuhkan untuk memantau dan memastikan tawaran PN dilaksanakan sepenuhnya.