JELEBU: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yakin kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ketika ini cukup hebat untuk menangkis perang saraf yang dimainkan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Menyangkal perang psikologi dimainkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyatakan keyakinan menang di lima negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini, beliau berkata, dalam konteks pilihan raya, kekuatan akar umbi menjadi elemen penting dalam menentukan kemenangan sesebuah parti.

“Datuk Seri Hamzah memang pakar perang saraf, kita akui (kerana) dia bekas Menteri Dalam Negeri dan dia memang pandai bermain dengan perang psikologi.

“Dalam pilihan raya ini, ia bukan soal perang saraf, yang penting ialah kekuatan akar umbi dan kita boleh lihat sendiri bahawa di Negeri Sembilan... bukan kita berasa sombong tetapi kekuatan akar umbi itu ada di peringkat pihak BN dan PH.

“Bukan kita nak rendahkan pihak lawan tetapi Pas tiada kekuatan akar umbi di Negeri Sembilan, Bersatu lagi tiada (jentera) jadi bukan kita rasa sombong tetapi itu hakikatnya,” katanya.

Beliau yang juga calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah berkata demikian ketika ditemui selepas program santai minum pagi bersama masyarakat Chennah di Balairaya Kampung Chennah pada Khamis.

Semalam, Hamzah berkata, gabungan itu melahirkan keyakinan akan memenangi lima daripada enam negeri dalam PRN yang berlangsung pada 12 Ogos ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui, sebuah lagi negeri iaitu Pulau Pinang disifatkan agak sukar tetapi akan berjuang dengan sebaiknya.

Dalam pada itu, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, perang saraf seperti itu tidak memberi kesan kepada gerak kerja jentera PH-BN dan beliau yakin mampu mendapat sokongan dan kemenangan di Negeri Sembilan.

“Dia nak main perang seperti itu supaya dapat meningkatkan motivasi ahli-ahli dia dan itu tidak lebih daripada perang saraf bagi saya,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menghargai kerjasama yang ditonjolkan jentera BN khususnya UMNO di setiap kerusi yang ditandingi oleh wakil daripada DAP di keenam-enam negeri.

“Memang saya rasa tidak ada masalah dari segi kerjasama jentera di semua negeri (seperti) di Selangor juga saya lihat kerusi-kerusi campuran, jentera UMNO keluar membantu,” tambahnya.