GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kekal mempertahankan kerusinya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) yang bakal berlangsung 12 Ogos nanti.

Sebelum ini, beliau yang juga Pengerusi DAP Negeri berjaya memenangi kerusi berkenaan dengan memperoleh sebanyak 9,278 undi  pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke ketika Majlis Pengumuman Calon-Calon DAP Pulau Pinang dan Kedah pada Selasa.

Selain beliau, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut mempertahankan kerusinya bagi DUN Air Putih.

Beri peluang muka-muka baharu, elak parti jadi tidak relevan. - Loke

Pada PRN kali ini, DAP mengemukakan seramai 19 calon yang bakal berentap di Pulau Pinang.

Daripada jumlah itu juga, 36.84 peratus merupakan calon-calon muka baharu manakala 63.16 peratus merupakan calon yang dikekalkan bertanding.

Sebelum ini, DAP sebulat suara untuk mengangkat Kon Yeow sebagai Ketua Menteri sekiranya beliau berjaya memenangi PRN kali ini.

Bagaimanapun situasi politik di Pulau Pinang tidak kurang hangatnya apabila wujud dakwaan akan berlakunya pertukaran Ketua Menteri melibatkan calon dalam kalangan parti itu sendiri.

Antara nama yang disebut termasuklah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Secara keseluruhan, Pakatan Harapan (PH) memenangi 33 daripada 40 kerusi yang dpertandingkan pada PRU14 yang lalu dan angka itu tidak termasuk parti Bersatu yang kini tidak lagi bersama PH.  

Dalam majlis sama, DAP turut menamakan dua lagi calon bagi DUN Kedah iaitu Teh Swee Leong dan Tan Kok Yew dimana masing-masing bertanding bagi Kota Darul Aman dan Derga.