BUTTERWORTH: Tawaran di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 membuktikan Kerajaan Perpaduan meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.

Malah, menurut Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, ia juga membuktikan Kerajaan Perpaduan tidak pernah mensia-siakan kepercayaan dan mandat yang diberikan rakyat di negeri itu.

Menurut Kon Yeow, hubungan perpaduan yang terbentuk itu juga bakal memberi kebaikan kepada rakyat Pulau Pinang menerusi 16 tunjang utama yang telah digariskan. 

Jelasnya, beliau mahu terus memperjuangkan nasib rakyat sekiranya diberikan mandat untuk mentadbir
Pulau Pinang sekali lagi.

“Kita sentiasa memikul amanah yang diberikan, memastikan bahawa tiada pihak yang terpinggir atau dipinggirkan, prinsip negeri berkebajikan yang sentiasa menjadi pegangan dan pastinya kita membangun bersama-sama dalam percambahan sosioekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan.

“Manifesto perpaduan merupakan sebuah  mandat  yang baru yang bukan hanya menyediakan  negeri ini  ke arah lonjakan kedua  ekonomi baharu sejajar dengan landasan ekonomi Madani yang  mensasarkan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar)  negara  bercambah  sebanyak enam  peratus malah ia juga terus menyediakan serta mempelbagaikan  bantuan-bantuan kepada golongan  yang memerlukan  tanpa mengira usia, latar belakang dan juga  organisasi”  katanya.

Kon Yeow berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Manifesto dan Pengenalan Calon-Calon Perpaduan negeri, di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth Arena, di sini, malam tadi.

Menurut Chow, sejak menerajui kerajaan negeri pada tahun 2008, banyak cabaran yang telah diharungi terutamanya  dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, khususnya sewaktu berdepan pandemik COVID-19.

“Saya komited untuk meneruskan segala usaha yang dimulakan sejak tahun 2008, malah jika diberi mandat sekali lagi untuk menerajui Pulau Pinang sebagai Ketua Menteri, kerajaan yang dipimpin akan mewakili nilai-nilai perpaduan bukan perpecahan, pembangunan bukan kemunduran, kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta tadbir urus yang baik” ujarnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, pihaknya tekad untuk melaksanakan beberapa perancangan antaranya menambahbaik aliran trafik serta melaksanakan pelan kontingensi air 2030 bagi memastikan krisis air tidak berulang.