Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Ab Rauf diberi mandat runding kerjasama, pilih rakan boleh beri kemenangan

MELAKA, 6 Sept - Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (depan, dua, kanan) menerima cenderahati daripada Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (depan, tiga, kiri) ketika hadir pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Anak Muda Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad Zahid (depan, dua, kanan) menerima cenderahati daripada Ab Rauf (depan, tiga, kiri) ketika hadir pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Anak Muda Negeri Melaka di MITC hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

MELAKA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan mandat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk merundingkan kerjasama dengan mana-mana pihak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata rakan kerjasama yang dipilih haruslah mempunyai sifat jujur serta ikhlas bagi memastikan BN terus menerajui pentadbiran negeri pada penggal hadapan.

"Datuk Rauf, saya beri mandat berunding elok-elok, pilih partner (rakan) yang taat setia, yang boleh memberikan kemenangan pada kita (BN).

"Pilih partner yang ikhlas dan jujur dengan kita, yang bercakap di belakang sama, di depan sama, bukan yang cakap depan lain, belakang buat lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 yang turut dihadiri Ab Rauf di tapak parkir Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Ahmad Zahid pada masa sama mengingatkan agar BN Melaka mengekalkan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi parti itu pada pilihan raya lepas.

Pada PRN Melaka yang diadakan pada 2021, BN menang  21 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Penggal DUN Melaka akan berakhir Disember ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement