Skip to main content

Politik

PRN Melaka: BN sedia berunding, tapi bukan jaminan bentuk 'ikatan' - Ab Rauf

Ab Rauf -- Astro AWANI
Ab Rauf menegaskan sebarang perbincangan hendaklah dilakukan menerusi saluran rasmi dan bukannya menerusi kenyataan media sosial yang tidak memberi penyelesaian. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

MELAKA: Sebarang rundingan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang tidak semestinya dimuktamadkan sehingga membentuk sebuah ikatan kerjasama politik, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri Melaka itu berkata, pihaknya bersedia membuka pintu rundingan secara rasmi kepada mana-mana pihak yang berhasrat membentuk kerjasama, namun ruang rundingan yang diberikan tidak memberi sebarang jaminan automatik.

“Tak semestinya rundingan itu dimuktamadkan (sehingga) menjadi rakan kongsi yang baik. Kita (menilai) berdasarkan kepada banyak faktor untuk menjadikan seseorang itu sebagai rakan kongsi kita.

“Insya-Allah, saya secara terbuka melihat bahawa BN Plus ini akan menghasilkan satu blok politik yang cukup baik pada Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Tegas beliau, sebarang perbincangan hendaklah dilakukan menerusi saluran rasmi dan bukannya menerusi kenyataan media sosial yang tidak memberi penyelesaian.

"Saya selalu tegaskan jangan buat rumusan dalam apa jua perbincangan yang tidak ada rasminya dan kali ini saya mahu kalau kita... 'bernikah biar berkadi, biar bersaksi'," seloroh beliau.

Mengulas mengenai pengagihan kerusi, Ab Rauf menegaskan bahawa BN akan kekal mempertahan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada PRN lalu manakala baki tujuh kerusi lagi terbuka untuk dirundingkan.

“Maksudnya 21 kerusi itu menimbulkan 1,001 kemungkinan, yang tujuh kerusi lagi ini bolehlah dirunding, mungkin ada pertukaran kerusi atas sifat perundingan tadi.

“Kita akan mengukur daripada pelbagai sudut kekuatannya, kelemahannya, kelebihannya dan bagaimana ia boleh membantu parti lain untuk menang,” jelas beliau.

Ditanya tarikh sebenar pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Ab Rauf berkata:  "bila buah masak, baru kita tuai".

DUN Melaka dijadual akan terbubar secara automatik pada Disember ini sekali gus bakal membuka laluan kepada PRN pada tahun ini.

Must Watch Video

Advertisement