KUALA LUMPUR: Corak pengundian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka tidak banyak berubah berbanding PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata Barisan Nasional (BN) dijangka mampu mengekalkan penguasaan dalam pilihan raya kali ini.
"Pertamanya, kerana demografi pengundi di Negeri Sembilan dan Johor hampir sama dengan demografi pengundi di Melaka.
“Kedua, naratif Melayu-Islam akan tetap dimainkan. Naratif agenda penyatuan ummah Pas-UMNO akan jadi naratif utama yang akan memberi kelebihan kepada mereka. Kita tahu sekurang-kurangnya 23 kerusi di Melaka ialah kerusi yang mempunyai pengundi majoriti Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
PRN Melaka: Corak pengundian dijangka tidak banyak berubah berbanding Johor, Negeri Sembilan - Penganalisis
Dalam temu bual sama, penganalisis pilihan raya Dr G Manimaran pula berpandangan, ada faktor kejutan yang mungkin ditunjukkan oleh pengundi berikutan wujud penjajaran baharu kerjasama politik yang akan bertanding dalam PRN Melaka.
“Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kata sedia untuk berunding dengan rakan lama Pas dalam Perikatan Nasional (PN), iaitu Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Ia akan bawa perubahan aliran sokongan.
“Tetapi, dalam pilihan raya ini mungkin ada sentimen yang belum didedahkan dan kejutan oleh pengundi. Saya melihat pilihan raya ini lebih kepada persaingan isu politik berbanding isu kos sara hidup dan ekonomi,” katanya.
Semalam, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubar secara rasmi berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Komposisi terkini DUN Melaka sebelum pembubaran adalah seperti berikut: BN 20 kerusi, PH lima kerusi, PN dua kerusi iaitu Rembia dan Sungai Udang, manakala satu kerusi lagi, Bemban, disandang Dr Mohd Yadzil Yaakub yang berstatus Bebas di DUN selepas keluar daripada Bersatu dan kemudiannya dikaitkan dengan Parti Wawasan Negara.
Agenda AWANI: Dinamika politik menuju PRN Melaka