MELAKA: Ketika persoalan dengan pihak mana Pas akan bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan sama ada di bawah gagasan Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO atau kekal dalam Perikatan Nasional (PN), ada ‘idea’ baharu yang dicetuskan pimpinan parti itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man secara sinis mencadangkan agar semua parti yang akan bertanding di PRN Melaka kelak menggunakan logo parti berkenaan.

"Oleh kerana semua parti bersetuju bekerjasama dengan Pas, elok kalau kita gunakan satu logo iaitu logo Pas dalam PRN Melaka nanti. Fikir-fikirkan," kata Tuan Ibrahim dalam entri terbaharu di laman Facebook rasmi beliau pada Jumaat.

BACA: PRN Melaka: 'Kerjasama Pas-UMNO, tunggu keputusan Ahad ini' - Kamarudin


\

[TERKINI] UMNO teruskan persefahaman dengan Pas
BACA: PRN Melaka: UMNO terus persefahaman dengan Pas - Ahmad Maslan


Terdahulu, Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek menjelaskan, keputusan berhubung tawaran UMNO untuk memperkukuhkan MN akan dibuat oleh Pas Pusat pada Ahad ini.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada UMNO kerana sedia bekerjasama dengan Pas.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Pas pada PRN Melaka.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan Pas selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Umno 2020 iaitu memperkukuhkan MN dalam menghadapi PRN Melaka.