JASIN: Hanya berbaki beberapa hari sebelum nama-nama calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diumumkan pada Sabtu.

UMNO Bahagian Jasin tampil meminta agar pucuk pimpinan UMNO mengekalkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman sebagai calon yang akan bertanding pada 20 November depan.

Menurut Setiausaha UMNO bahagian itu, Datuk Abdul Kalam Hassan pemilihan calon yang tidak disokong akar umbi dikhuatiri memberi impak negatif kepada parti itu untuk memenangi PRN Melaka.

"Di Sg Rambai, kita tak pasti calon mana dipertandingkan, saya berharap Datuk Wira Hasan dikekalkan di Sungai Rambai.

"UMNO Cawangan (di Bahagian Jasin) mengharapkan beliau di Sungai Rambai dalam PRN kali ini.

"Beliau satu-satunya orang membawa pembangunan dilaksanakan dan saya melihat dan difahami juga bahawa masa hadapan telah dirancang dengan teliti Sungai Rambai," jelasnya.

Mengulas lanjut jelasnya ketika ini, beberapa keluhan diterimanya daripada UMNO Bahagian di negeri itu berhubung pemilihan calon yang akan bertanding.

Ia melibatkan muka muka baharu dan calon muda yang dilihat tidak mendapat sokongan padu daripada akar umbi.

"Selain daripada Datuk Hasan (di Sg Rambai) saya bimbang pertama sokongan kepada BN akan berkurang kerana kita tahu Sg Rambai ini merupakan kita punya fixed deposit (deposit tetap).

"Di Sg Rambai dan Serkam, kalau fixed deposit hilang kalau tak letak calon, sebenarnya kita bimbang perkara sama boleh berlaku di Sg Rambai," jelasnya lagi.

Justeru beliau bersama 96 cawangan UMNO di Jasin meminta agar pucuk pimpinan meneliti semula calon yang berpotensi untuk menang di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kerisauan tetap ada, ramai (ahli UMNO) di Melaka risau bila gambaran disebut-sebut, ramai risau kemelut ini.

"Kita bimbang dan kita ragu kalau sekiranya menjadi titik hitam di Melaka adalah satu kekesalan tidak boleh kita maafkan.

"Ini luahan hati dan pandangan kita kepada kepimpinan di peringkat atas, kita ni ahli parti UMNO, kita tak minta apa-apa, kita berjuang dalam UMNO untuk melihat bangsa dan agama di negara kita terjaga," katanya lagi.

Risau protes dalaman

Tambah Abdul Kalam lagi, jika pucuk pimpinan tidak dapat menyelesaikan isu calon bagi parti itu, dikhuatiri parti itu bakal berdepan protes dalaman.

Ujarnya, perkara itu tidak dapat dihalang jika calon yang dinamakan di kerusi DUN tidak diterima akar umbi parti itu.

"Kita tak mahu mimpi kedua khas untuk orang UMNO akan mengakibatkan titik hitam sangat menyayat hati.

"UMNO perlu bangkit kalau tidak kali ini tak mungkin UMNO boleh bertahan di negara kita.

"Saya sedang mencuba untuk memujuk rakan-rakan di Parlimen Jasin untuk akur keputusan parti tapi sedaya mana saya untuk memujuk. Yang penting pada hari pengundian 20 November nanti, kalau (akar umbi) tak mengambarkan apa yang dikatakan kepada saya hari ini, itu merisaukan saya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Gerakan DUN Sungai Rambai di sini pada Jumaat.

Terdahulu, satu senarai nama nama calon Barisan Nasional (BN) tular di laman sosial sebelum pengumuman rasmi dibuat Pengarah Jentera Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Sabtu.

N.28 DUN Sungai Rambai sebelum ini disandang Datuk Rahman Hasan daripada BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dengan majoriti 1,669 undi mengatasi calon daripada Pakatan Harapan (PH) dan gabungan GPS dan PAS.

Bagaimanapun dalam senarai yang tular itu menunjukkan penama Siti Faizah Datuk Abdul Azis diletakkan sebagai calon di DUN berkenaan.