KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Pantai Kundur, Datuk Nor Azman Hassan, yakin akan dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Nor Azman berkata beliau dan bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron akan dinamakan calon oleh PH, biarpun DAP tidak menerima mereka.

Beliau juga mahu kekal bertanding di DUN Pantai Kundur kerana yakin pengundi di kawasan tersebut tahu menilai prestasinya.

"Insya-Allah saya tidak akan pergi ke mana-mana parti, walaupun banyak yang menawarkan untuk sertai mereka, jadi saya bagitahu saya tak suka begitulah.

"Kita pegang pada janji, dan saya tengok Pakatan Harapan pun masih berbincang, dan saya tengok saya dan Datuk Seri Idris Haron tempat pun sudah ada, akan diumumkan sebelum 8 November nanti insya-Allah," katanya.

Nor Azman berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Agenda AWANI yang membincangkan tentang persiapan berdepan PRN Melaka.

Mengulas mengenai larangan berkempen yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Nor Azman menganggap ia satu perkara yang baik.

Jelasnya, pengalaman dijangkiti COVID-19 hingga terlantar di hospital membuatkan beliau berpendapat larangan berkempen itu baik untuk keselamatan rakyat.

"Saya kena jangkitan COVID-19, saya sendiri sudah rasa bagaimana susahnya bila kena sakit ini, saya agak nazak di hospital.

"Bila MKN keluarkan SOP, KKM keluarkan SOP, nanti SPR keluarkan SOP, saya kata benda ini benda baik yang wajib kita patuhi.

"Kita jangan pentingkan diri berpolitik hingga lupa nasib rakyat, saya tak suka macam itu," katanya lagi.