MELAKA: Pakatan Harapan (PH) tidak melihat pertandingan banyak penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai sesuatu yang merugikan, sebaliknya persaingan berkenaan mampu membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada gabungan itu untuk mencapai kemenangan.
Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata pertandingan dua penjuru tidak semestinya memberikan kelebihan kepada sesebuah parti kerana dalam keadaan tertentu, persaingan melibatkan tiga atau empat calon boleh menjadi lebih menguntungkan dari segi strategi pilihan raya.
"Berdasarkan pengalaman saya menghadapi pertandingan empat penjuru sebelum ini, jumlah calon yang ramai bukanlah penghalang untuk meraih kemenangan, sebaliknya membuka ruang yang boleh dimanfaatkan oleh parti bertanding.
"Sebenarnya kalau kita lihat, memang ada cabaran dan juga kelebihannya dari segi strategi kita. Kadang-kadang pertandingan dua penjuru lebih sukar berbanding dengan pertandingan tiga penjuru," katanya kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang Bersama Pengamal Media Melaka di Ayer Keroh, di sini hari ini.
Hadir sama Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Adam Adli Abdul Halim.
Adly berkata keputusan PH menambah jumlah kerusi ditandingi daripada 21 kepada 24 juga dibuat selepas menilai perkembangan politik semasa serta potensi gabungan itu untuk mencapai kemenangan.
"Jadi, daripada awal 24 (Okt) kita sudah mengawal 21 kerusi dan kita melihat juga potensi kita ke depan itu, dan akhirnya kita membuat keputusan berdasarkan kawalan kitalah. Kaedah itu juga kita akan lebih berpotensi dari segi memberikan fokus kita untuk kemenangan calon-calon kita," katanya.
Adly berkata keputusan itu juga tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kegagalan rundingan dengan mana-mana parti politik kerana PH membuat penilaian berdasarkan kemampuan sendiri dan perkembangan semasa.
Beliau berkata antara prinsip yang turut diberi perhatian ialah memastikan tiada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi tanpa bertanding bagi membolehkan pengundi melaksanakan hak mereka memilih wakil rakyat melalui proses demokrasi.
"Jadi, contohnya apabila kita perasan Bersatu tak letak calon, itu (dilakukan) tanpa dibincang dengan kita. Jadi, kita masuklah supaya kita pastikan proses demokrasi berjalan seperti sepatutnya. Rakyat mengundi perlu diberi peluang untuk buat pilihan," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 10 Nov dan hari pengundian pada 14 Nov.
-- BERNAMA