ALOR GAJAH: Parti Progresif Penduduk (PPP) telah menyampaikan hasrat kepada pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk diberikan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Presiden PPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, parti itu tidak menetapkan mana-mana kerusi secara khusus untuk ditandingi pada PRN kali ini, sebaliknya menyerahkan perkara berkenaan kepada pertimbangan BN berdasarkan kesesuaian kawasan dan perubahan geopolitik semasa.
“PPP pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana pada 2013, namun selepas masalah dalaman parti pada 2018 kita tidak mendapat kerusi. Jadi sekarang kita sedang memohon supaya diberikan kerusi kembali,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan bersama 120 ahli PPP yang terdiri daripada Ketua Bahagian, Ketua Cawangan, Ketua Belia dan Ketua Wanita negeri Melaka, di sini, pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, Loga Bala mengumumkan pelantikan Ketua Belia PPP yang juga Ketua PPP Wilayah Persekutuan, Sathiah Sudakaran sebagai Pengarah Pilihan Raya PPP Melaka bagi membantu Ketua PPP Melaka Logeswaran Ganesan menyelaras persiapan menghadapi PRN.
Beliau berkata, persiapan jentera pilihan raya PPP Melaka kini berada pada tahap lebih 90 peratus dan jentera akan membantu BN di seluruh Melaka sepertimana yang dilakukan parti itu pada PRN Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.
Penggal DUN Melaka bakal berakhir pada Disember ini.
-- BERNAMA