MASJID TANAH: Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak, berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) akan membawa kembali zaman BN yang dirindui rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

"Kita yakin agenda UMNO dan BN agenda terbaik terbukti selama ini. Mereka (rakyat) ada peluang buat perbandingan zaman BN, PH (Pakatan Harapan), PN (Perikatan Nasional).

"Rata-rata kata, mereka (rakyat) rindu zaman BN," katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan UMNO dan BN perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan jika tiada kesepakatan dengan parti lain menjelang PRN Melaka.

Jelas Ahli Parlimen Pekan itu, keputusan muktamad belum ditetapkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, namun jentera UMNO dan BN perlu berusaha sedaya upaya untuk memenangi PRN berkenaan.

"Apa bentuk kerjasama, sama ada bertanding sendiri atau bertanding (dengan) sokongan dan kerjasama dengan pihak lain... Muafakat Nasional (MN) atau PN saya tak sentuh, itu bidang kuasa MKT.

"Saya serahkan kepada mereka menentukan apa kaedah formula yang terbaik, kita kena bersedia apa juga keadaan. Mungkin kita ada pilihan, dari segi... kita perlukan pihak lain bersetuju apa kita cadangkan," katanya.