MASJID TANAH: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjelaskan bahawa beliau menolak khabar angin kononnya berlaku pergolakan jawatan Ketua Menteri Melaka selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam.

Tegasnya, kesemua Ketua-Ketua UMNO Bahagian di negeri itu sebulat suara menzahirkan sokongan terhadap Sulaiman seperti dimaklumkan sebelum ini.

"Saya ingin memaklumkan kesemua kami ketua-ketua UMNO Bahagian dalam negeri Melaka akan berikan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka.

"Ia bagi memastikan kepercayaan diberikan demi kepentingan bersama kami setiap pelusuk akar umbi di negeri ini.

"Saya selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka ingin memaklumkan pelantikan ini menunjukkan kepercayaan oleh rakyat Melaka dengan kerjasama semua Ketua-Ketua UMNO Bahagian di setiap bahagian untuk memastikan bahawa selepas ini kami juga sedia hadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15," jelasnya.

Mengulas mengenai khabar angin itu, tambah Ab Rauf, tiada masalah yang timbul di antara mereka, sebaliknya fokus kini diberikan berhubung pentadbiran kerajaan negeri yang baharu.

"Dalam sidang media ini, saya ingin maklumkan bahawa kami tidak ada masalah yang telah kita bersama-sama mendapat sebuah kerajan stabil.

"Oleh itu saya menolak khabar angin, (kononnya) ada kemelut antara kami menentang Ketua Menteri sedia ada.

"Saya bersama semua Ketua-Ketua Bahagian memberikan sokongan penuh Ketua Menteri termasuk saya selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri akan berikan kerjasama sepenuhnya," jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di kediamannya di sini pada malam Ahad.

BACA: BN kembali terajui Melaka, menang bergaya tawan 21 kerusi

Barisan Nasional (BN) berjaya menawan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 28 kerusi yang ditandingi parti itu.