MASJID TANAH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menjelaskan bahawa tindakannya untuk mengangkat sumpah secara mengejut awal pagi Ahad disebabkan jadualnya yang ketat.

Ujarnya, keputusan itu dibuat untuk membolehkannya mula bertugas dalam pentadbiran kerajaan negeri itu.

"Sebab esok saya ada konsular mesyuarat dan Mesyuarat Majlis Raja Raja (pada) Isnin. Kemudian saya ada Mesyuarat di Istana Melaka, kemudian Mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri pada Selasa.

"Rabu saya ada Mesyuarat Majlis Raja Raja berikutan pembentangan Belanjawan Negeri Melaka 2022, jadi tidak ada salahnya apa yang dilakukan malam tadi supaya saya boleh jalankan tugas lebih awal lagi," jelasnya.

Mengulas lanjut berhubung pembentukan Exco Kerajaan Negeri, tambah Sulaiman, pemilihan itu bergantung kepada kombinasi kepakaran, latar belakang pendidikan seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu.

"Kita ada kombinasi, kita akan lihat latar belakang kepakaran pendidikan, ini selaras dengan kedudukan portfolio mereka.

"Sekali gus akan jalankan tugas dan tanggungjawab memastikan manifesto (kerajaan) dapat diselesaikan," jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di kediaman Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di sini pada malam Ahad.

Terdahulu, Sulaiman selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di Pejabat Yang Di-Pertua Negeri Melaka di Istana Negeri pada Ahad.

BACA: PRN Melaka: Sulaiman Md Ali selesai angkat sumpah Ketua Menteri Melaka ke-13

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berkenaan dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam di Dewan Seri Utama.