KOTA BHARU: Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menafikan beliau terlibat menggugurkan nama Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang juga anak bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menyifatkan tuduhan itu sebagai satu fitnah, beliau menegaskan, pihak yang membuat tuduhan sedemikian tidak terlibat dalam mesyuarat pemilihan nama calon serta tiada sebarang jawatan dalam parti.

“Ustaz Nik Abduh dah jelaskan beliau tak nak bertanding… tak ada masalah apa-apa, kenapa orang lain sibuk?

“Ada dua statement (kenyataan) dia (Nik Abduh) harap tak bertanding sebab nak fokus sekolah ayah… dia kenapa orang lain buat tuduhan? Tak betul. Itu fitnah bila sebut nama saya.

“Macam mana dia kata saya? Dia tak terlibat dalam mesyuarat, dari mana maklumat dia (dapat), (dia) tak ada jawatan dalam parti…” tegas Mohd Amar lagi.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian sebagai mengulas gesaan yang dibuat adik Allahyarham Nik Aziz iaitu Nik Din Nik Mat supaya rakyat tidak mengundi Mohd Amar pada PRN kali ini yang akan berlangsung 12 Ogos akan datang.

Gesaan Nik Din yang dimuat naik dalam satu video itu mendakwa Mohd Amar sebagai dalang di sebalik ketiadaan nama Nik Mohamad Abduh sebagai calon PRN di Dewan Undangan Negeri Cempaka.

Nik Din turut mendakwa, beliau telah menemui Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang turut memberi jaminan bahawa anak saudaranya itu akan dicalonkan dalam PRN kali ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Amar berkata, merujuk kepada kenyataan Nik Mohamad Abduh sebelum ini yang dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, anak Allahyarham Nik Aziz itu menolak untuk dicalonkan dalam PRN atas alasan ingin menumpukan perhatian kepada Sekolah Arab Darul Anwar.

Mohd Amar yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Pengkalan Chepa turut memaklumkan, nama Nik Mohamad Abduh tidak ada dalam senarai calon pada peringkat awal lagi.