RANTAU: Abang kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan menzahirkan rasa bangga atas komitmen adiknya mengimbangi tugas di peringkat Persekutuan sebagai Menteri Luar dengan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Menurut Datuk Azman Hasan yang kini berusia 79 tahun, hubungan sebagai adik-beradik menjadi ruang untuk beliau berkongsi pandangan dan memberi nasihat agar Mohamad Hasan terus meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap amanah dipikul.
“Saya rasa bangga dengan apa yang dia buat. Saya perhati apa yang dia lakukan dan kita selalu berbincang mengenai apa yang dilakukan di Rantau dan juga di Rembau.
“Insya-Allah dia akan lakukan yang terbaik. Saya sentiasa menasihatkan dia supaya berkhidmat kepada rakyat dan untuk angkat harapan masa depan anak-anak kita serta generasi yang akan datang,” katanya.
Dalam masa sama, Azman berpandangan, Mohamad mungkin sedang melalui penggal terakhirnya sebagai Ahli DUN di Rantau.
Azman berharap adiknya dapat menamatkan khidmat dengan cemerlang demi rakyat Rantau sambil menzahirkan harapan agar BN terus diberi mandat pada pilihan raya kali ini.
“BN mampu mempertahankan DUN Rantau dengan majoriti lebih besar berbanding pilihan raya lalu yang diraih iaitu 10,280 undi.
“Kita mampu memenangi sekurang-kurangnya 19 daripada 25 kerusi yang ditandingi pada PRN kali ini,” kata Azman.
Pada Sabtu, Azman bersama isteri, Datin Nor Hayati Ahmad hadir sekitar jam 8.10 pagi untuk membuang undi, mereka antara yang terawal menunaikan tanggungjawab di Sekolah R.J.K (C) Chung Hua.