Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Ahmad Zahid mahu liputan media sama rata untuk semua calon

Ahmad Zahid, Kebebasan media
Ahmad Zahid berkata, terdapat maklum balas yang diterimanya mengenai dakwaan berlakunya “blackout” media terhadap calon atau parti tertentu, selain ada laporan yang diberikan ruang terlalu kecil untuk disiarkan atau diterbitkan. - Gambar Astro AWANI/Firdaus Mohari
Advertisement

SEREMBAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua organisasi media memberikan liputan yang adil dan seimbang kepada setiap calon yang bertanding sepanjang kempen Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Beliau berkata, terdapat maklum balas yang diterimanya mengenai dakwaan berlakunya “blackout” media terhadap calon atau parti tertentu, selain ada laporan yang diberikan ruang terlalu kecil untuk disiarkan atau diterbitkan.

Menurut Ahmad Zahid, situasi itu bukan sahaja menjejaskan prinsip demokrasi, malah memberi kesan kepada pengamal media yang menjalankan tanggungjawab membuat liputan di lapangan.

“Saya pun dengar maklum balas yang sama, tentang adanya “blackout” kepada calon-calon dan parti tertentu ataupun memberi ruangan yang terlalu kecil.

“Saya fikir berlakulah adillah kepada semua. Saya kasihan kepada pengamal media ini, mereka membuat liputan di semua tempat, (fokus kepada) semua calon tetapi tidak ada siaran dan tidak ada penerbitan.

“Kasihanlah, mereka dihantar sekurang-kurangnya selama tempoh kempen ini, tetapi berita yang mereka tulis itu tidak dikeluarkan. Kecil hatilah mereka. Jadi tolong jangan kecilkan hati mereka. Bagilah liputan yang sama rata kepada setiap calon, barulah namanya demokratik,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Timbalan Perdana Menteri bersama warga Kemas Negeri Sembilan, di sini, pada Selasa.

Sebelum itu, Pengerusi BN itu mengakui beliau masih belum berpuas hati dengan prestasi gerak kerja jentera parti menjelang PRN16.

Menurut beliau, semua jentera dan calon perlu memperhebat usaha sepanjang tempoh berkempen kerana BN berdepan cabaran sebagai parti yang dianggap “underdog” dalam pilihan raya kali ini.

Must Watch Video

Advertisement