KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya memberi kesempatan kepada gabungan itu untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
Beliau berkata, selaku pemimpin yang diamanahkan untuk mengemudi negara dan menentukan dasar, beliau bersama barisan kerajaan telah berusaha melakukan yang terbaik demi kebajikan rakyat, termasuk anggota tentera dan polis.
Menurutnya, walaupun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kebajikan anggota keselamatan dan keluarga mereka.
Jelasnya, termasuk penambahbaikan dari segi gaji, kemudahan asas, perumahan, pendidikan anak-anak serta penjagaan kesihatan ibu bapa.
Pada masa sama, kerajaan turut meneruskan pelaksanaan bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada golongan yang layak.
“Berilah kesempatan ini yang sebaiknya supaya kita boleh meneruskan khidmat kita,” katanya menerusi rakaman video di Facebook rasminya hari ini.
Beliau turut merayu anggota tentera dan polis yang layak mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Selasa ini, agar memberikan sokongan kepada calon PH.
Dalam rakaman itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada anggota ATM dan PDRM atas jasa, khidmat serta pengorbanan mereka demi negara.
“Mari kita bersama bekerja berkhidmat dan berjuang untuk mengangkat martabat negara Malaysia yang tercinta dan berilah sokongan kepada PH,” katanya lagi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata sebanyak 22,339 anggota PDRM dan ATM bersama-sama pasangan akan mengundi pada PRN Negeri Sembilan ke-16 pada 28 Julai ini.
Menurutnya, jumlah itu melibatkan 5,455 pegawai dan anggota PDRM, manakala 16,884 lagi terdiri daripada anggota ATM bersama dengan pasangan yang akan menunaikan tanggungjawab pada hari berkenaan.