Skip to main content
Advertisement

Bisnes

S&P kekal penarafan Malaysia pada A-, jangka pertumbuhan 5.5 peratus pada 2026 - MOF

[TB]_Ekonomi, Belanjawan_ADOBE STOCK
S&P Global Ratings (S&P) telah mengekalkan semula penarafan kredit berdaulat Malaysia pada ‘A-’ dengan tinjauan stabil, dan menjangkakan ekonomi Malaysia meningkat sebanyak 5.5 peratus pada 2026, menurut Kementerian Kewangan (MOF). - Foto hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: S&P Global Ratings (S&P) telah mengekalkan semula penarafan kredit berdaulat Malaysia pada ‘A-’ dengan tinjauan stabil, dan menjangkakan ekonomi Malaysia meningkat sebanyak 5.5 peratus pada 2026, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian dalam kenyataan hari ini memaklumkan penarafan S&P itu adalah berdasarkan daya tahan dan kepelbagaian ekonomi negara, momentum pertumbuhan yang berterusan, konsolidasi fiskal secara berperingkat, fleksibiliti dasar monetari yang kukuh serta kedudukan luaran yang sentiasa menyokong.

MOF memaklumkan unjuran stabil mencerminkan jangkaan S&P bahawa momentum pertumbuhan Malaysia dan persekitaran dasar semasa akan menyokong prestasi fiskal yang stabil dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. 

 Menurutnya S&P mengunjurkan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 5.0 peratus bagi tempoh 2026-2029 dan purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar per kapita wajaran 10 tahun Malaysia pada 3.7 peratus, lebih tinggi daripada median global berbanding negara pada tahap pendapatan yang setara.

“Ini mencerminkan keyakinan dan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap kekuatan dan daya tahan ekonomi Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata kerajaan telah melaksanakan reformasi secara berperingkat dan tersusun sejak peluncuran Ekonomi MADANI.

“Tuntutan memperkukuh asas fiskal bukanlah alasan untuk membelakangkan keperluan mengekalkan pertumbuhan, apatah lagi melindungi rakyat daripada gejolak luaran.

“Penilaian S&P ini menggalakkan. Pertumbuhan per kapita Malaysia kekal kukuh berbanding negara setara, meskipun berdepan persekitaran global yang semakin mencabar. Pada masa sama, kita terus melindungi rakyat daripada tekanan inflasi luaran,” kata Anwar dalam kenyataan sama.

Menurut MOF pengekalan penarafan ini turut disokong oleh peningkatan penghantaran produk elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor susulan kitaran pelaburan global berkaitan kecerdasan buatan, di samping peningkatan eksport tenaga dan penggunaan isi rumah yang memberangsangkan.

“S&P juga menyatakan bahawa Malaysia telah muncul sebagai destinasi pelaburan pusat data terkemuka di Asia Tenggara, dengan anggaran pelaburan terkumpul sebanyak RM386 bilion antara 2021 hingga pertengahan 2026. 

“Dari segi pengurusan fiskal, agensi penarafan kredit itu mengiktiraf konsolidasi fiskal Malaysia yang berterusan, dengan defisit fiskal telah mengecil daripada 6.4 peratus daripada KDNK pada 2021 kepada 3.7 peratus pada 2025, mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara,” menurutnya.

Menurut MOF kedudukan luaran Malaysia kekal sebagai sumber daya tahan yang penting, disokong oleh asas eksport yang kukuh dan pelbagai serta rekod lebihan akaun semasa selama lebih dua dekad.

“S&P menjangkakan lebihan akaun semasa akan stabil pada sekitar 1.8 peratus daripada KDNK dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Selain itu, ia turut menilai Bank Negara Malaysia sebagai mempunyai tahap kebebasan yang tinggi serta kredibiliti dasar monetari yang kukuh, dengan inflasi dijangka kekal stabil,” menurutnya.

Menurut MOF, melangkah ke hadapan, kerajaan akan terus mempergiat reformasi di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026-2030, dengan terus memberikan penekanan kepada kemampanan fiskal, produktiviti dan daya saing, serta memastikan pertumbuhan yang lebih kukuh diterjemahkan kepada peluang dan kesejahteraan yang lebih baik untuk rakyat. 

“Tanggungjawab kita sekarang adalah memastikan pertumbuhan yang lebih kukuh diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang yang lebih luas dan taraf hidup yang lebih baik.

“Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Okt 2026 akan memperkenalkan langkah seterusnya untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat,” kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement