Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: BN pertaruh manifesto berasaskan rekod pentadbiran - Mohamad Hasan

mohamad hasan_AWANI
Barisan Nasional (BN) memaklumkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16) dirangka berasaskan dasar dan pelan pembangunan yang pernah dilaksanakan sebelum ini, dengan penambahbaikan mengikut keperluan semasa. - Astro AWANI
Advertisement

SENDAYAN: Barisan Nasional (BN) memaklumkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16) dirangka berasaskan dasar dan pelan pembangunan yang pernah dilaksanakan sebelum ini, dengan penambahbaikan mengikut keperluan semasa.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, manifesto itu dihasilkan menerusi perbincangan bersama beberapa pemimpin dan pasukan yang terbabit dalam penyediaan dasar, termasuk Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Datuk Hasim Rusdi.

Menurut beliau, BN memilih untuk tidak menggubal manifesto yang baharu sepenuhnya, sebaliknya mengekalkan dasar yang pernah diterima rakyat sebelum ditambah baik mengikut cabaran dan keperluan semasa.

“Saya berbincang dengan rakan-rakan Datuk Seri Jalaluddin Alias dengan Datuk Hasim Rusdi dan rakan-rakan, supaya kita jangan susah-susah nak buat nak kita gubal manifesto baru sebab kita dah ada satu rancangan dasar kita yang baik dulu, diterima oleh rakyat.

“Tetapi 2018, orang banyak keliru. Ya. Orang banyak keliru. Sebab kematangan masa itu tak berapa baik, kan. Orang tak boleh nak pisahkan antara negeri dengan parlimen. Jadi dia terus buang. Habis dengan kita-kita pun hanyut sekali... 2018.

“Tetapi Insya-Allah, ya, rakyat sekarang dah tahu, kita dah lihat gelombang di Johor, kita dah lihat di Negeri Sembilan, semasa satu minggu ni kita berkempen, body language orang amat menggalakkan.

“Ya dan kita harap dan berdoa pada satu hari bulan, rakyat akan memberikan semula mandat kepada Barisan Nasional untuk kita teruskan kerja-kerja untuk mensejahterakan Negeri Sembilan. Mensejahterakan rakyat,” katanya.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto BN, di sini, pada Jumaat.

Tambahnya, fokus utama manifesto adalah untuk meneruskan usaha mensejahterakan rakyat tanpa mengabaikan mana-mana golongan termasuk nelayan, penternak dan peladang.

Beliau turut menekankan aspek keterjaminan makanan dengan cadangan mewujudkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) seluas 50 ekar di setiap daerah bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian tempatan mengikut kekuatan kawasan masing-masing.

Selain itu, beliau berkata, BN turut merancang menghidupkan semula tanah-tanah terbiar termasuk kawasan sawah bagi mengurangkan kebergantungan Negeri Sembilan terhadap bekalan makanan dari luar negeri.
 

Must Watch Video

Advertisement